KEMASKINI: KKM sah penggunting rambut positif Covid-19, pernah tawar rumah ke rumah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang penggunting rambut positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata penggunting rambut itu, seorang lelaki warga Pakistan, juga ada menawarkan khidmat gunting rambut dari rumah ke rumah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan.

Penggunting rambut itu dikesan positif selepas majikan memintanya menjalani saringan Covid-19 sebelum kedai mula beroperasi.

Penggunting rambut itu menjalani saringan pada 10 Jun. Kementerian dapat makluman awal jangkitan daripada Pejabat Kesihatan Titiwangsa.

“Kementerian telah mengesan 40 kontak rapat lelaki itu termasuk pelanggannya. Semua mereka diarah kuarantin di rumah manakala pesakit berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial penggunting rambut di sebuah kedai di Setapak dikatakan positif Covid-19, beberapa hari selepas perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi.

Hisham berkata mengikut pecahan kontak rapat, seramai 21 orang merupakan pelanggan khidmat rumah ke rumah, manakala 15 lagi pelanggan kedai selepas ia kembali beroperasi.

Empat lagi merupakan rakan serumah penggunting rambut itu.

“Khidmat gunting rambut dari rumah ke rumah dibuat atas permintaan pelanggan kawasan sekitar,” kata Hisham.

Punca jangkitan belum dikenalpasti dan siasatan masih dijalankan.