Pengukir kayu tradisional Cina pasrah

Lee Teik Chye berniaga dari kedai ini sejak 15 tahun lalu.

GEORGE TOWN: Artis papan tanda tradisional Cina, Lee Teik Chye sangka perniagaannya akan berakhir suatu hari nanti kerana tiada seorang pun anaknya yang berkemampuan berminat untuk meneruskan warisan ukiran kayu turun-temurun.

Rupanya apabila kawalan Covid-19 dikuatkuasakan pada Mac, Lee sedar penghujung perniagaan uniknya semakin dekat. Susah untuk dia membayar sewa rumah kedai di Lebuh Acheen kerana tiada tempahan.

“Saya bayar sewa RM2,000 sejak 3 bulan lalu sedangkan kedai tidak boleh dibuka dan tiada tempahan baru,” katanya kepada FMT apabila beliau membuka kedainya semalam.

“Saya rasa dah tak boleh teruskan lagi. Kalau tiada perniagaan dalam bulan mendatang, saya tidak ada pilihan dan terpaksa gulung tikar.”

Lee seorang daripada 3 dalam bidang ini yang masih mengukir dengan tangan. Pengukir lain menggunakan mesin.

Sebelum kawalan, Lee dicari-cari kerana beliau mahir mengukir seni 3 dimensi yang hanya boleh tercapai menerusi ukiran tangan.

Dia ada 6 orang anak. Lima tidak berminat mempelajari perniagaan itu. Seorang anak menunjukkan minat semasa kecil tetapi malangnya dia kini kurang upaya selepas terbabit dalam kemalangan.

Lee belajar kemahiran ukir daripada bapanya, yang lahir di wilayah Fujian, China. Dia belajar seawal usia 7 tahun. Dia mengambil alih perniagaan itu pada usia 25 tahun, beroperasi dari belakang rumah keluarganya di Jalan Nanking.

15 tahun kemudian, Lee menyewa rumah kedai sekarang ini, yang menurutnya uzur dan penuh ular. Dia cuba cari rumah kedai lain tetapi sewanya pula sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan, menyebabkan dia terpaksa berniaga di kedai sekarang.

Beberapa papan tanda yang diukirnya terpampang di pintu rumah pelanggan. Ia mempamerkan nama keluarga pelanggan dan orang percaya ia boleh menarik rezeki.

Juga ada papan tanda yang tertera peribahasa dan ungkapan kesyukuran. Selalunya ia ditempah sebagai hadiah kepada orang lain. Kebiasaannya boleh ditemui di pejabat doktor dan peguam, kata Lee.

Lee sedang membuat ukiran yang rumit.

Papan tanda ini diukir dari ketulan kayu yang besar, selalunya diambil dari pokok Jelutong. Namun beliau kini mengukir kayu dari pokok Meranti dan Batu kreana pokok Jelutong semakin sukar didapati dan mahal.

Setiap papan tanda dijual pada harga sekurang-kurangnya RM2,900. Harganya boleh naik sehingga RM25,000, bergantung kepada kerumitan ukiran. Setiap papan tanda mengambil masa sekurang-kurangnya 2 minggu untuk siap, tetapi yang lebih rumit boleh mengambil masa sehingga sebulan.

Prosesnya bermula dengan meratakan ketulan kayu, yang kemudian dipotong mengikut saiz tertentu. Kemudian, huruf Cina dan motif seperti awan atau naga diukir.

Selepas itu, dia mendempul papan itu dan dikeringkan sebelum diwarnai. Warna yang selalunya dipilih adalah emas berlatarkan hitam.

“Paling mahal yang saya pernah saya hasilkan adalah papan tanda berlatarkan dedaun emas bernilai RM20,000,” katanya.

“Saya juga ada dapat tempahan daripada pelanggan yang bukan berketurunan Cina.”

Lee amat sudi mengajar seni ini kepada mana-mana orang yang berminat, tetapi orang itu mesti berjanji untuk bekerja di kedainya sekurang-kurangnya selama setahun dan memberi suku daripada pegangannya dalam perniagaan itu.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya sedia serahkan perniagaan ini kepada mana-mana orang pun,” katanya.

“Ini terbuka kepada mana-mana rakyat yang berminat untuk belajar. Saya tak kisah awak Cina atau bukan.”