Bukan manusia saja bedah buang tumor, gorila juga jalani prosedur sama

5 orang diperlukan untuk mengangkat Makokou. (Gambar AP)

Jangan sangka hanya manusia sahaja boleh menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tapi gorilla pun boleh ye.

Seekor gorila berusia 34 tahun di Afrika Selatan terpaksa menjalani rawatan prosedur perubatan yang biasanya dilakukan ke atas manusia untuk membuang ketumbuhan luar biasa pada hidungnya.

Menurut laporan News Sky, gorila jantan dinamakan Makokou dari Johannesburg City Parks and Zoo itu diterbangkan sejauh 64km ke Hospital Akademik Veterinar Onderstepoort di Pretoria.

Fasiliti lengkap imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di hospital itu mampu menampung beban gorila terbabit yang cecah 210kg.

Bagaimanapun, ia memerlukan 5 orang untuk mengangkat Makokou yang ditidurkan, daripada pengusung selepas selesai ujian imbasan dan haiwan itu turut dipantau rapi.

Makokou bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 bulan depan, mula dikesan mengalami masalah kesihatan oleh kakitangan zoo pada Mei.

Sehubungan itu mereka membuat keputusan untuk menghantarnya menjalani ujian imbasan selepas ujian menyeluruh mengesahkan haiwan itu mempunyai ketumbuhan di saluran hidung.

Makokou menjalani imbasan CT yang biasanya dilakukan ke atas manusia. (Gambar AP)

Jurucakap Johannesburg City Parks and Zoo, Jenny Moodley berkata, sepanjang prosedur Makokou mengalami bengkak hidung dan dipercayai ia merupakan antara simptom penyakit berkenaan.

“Proses biopsi dilakukan dan sampel dihantar untuk histopatologi. Keputusannya mendedahkan Makokou menghidap rhinitis kronik dengan keradangan tisu yang mengembang di saluran pernafasannya.

“Kebajikan Makokou yang menyambut hari lahir pada 9 Julai jadi keutamaan semua kakitangan zoo,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]