Tiada wang dan tempat tinggal, penarik beca terdesak cari kerja lain

Penarik beca di Lebuh Pitt, George Town, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Penarik beca di Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang pendapatan akibat sekatan pergerakan selama 3 bulan yang menyebabkan tiada orang atau pelancong asing di jalanan.

Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang berkata, ramai daripada mereka terpaksa tinggal di beca kerana tidak mampu menyewa bilik atau rumah, dengan ada yang tidak mampu membeli makanan, tetapi mereka memerlukan wang untuk membeli ubat.

Presiden persatuan itu, Abdul Latiff Mohd berkata walaupun terdapat bantuan tunai daripada kerajaan persekutuan dan negeri, wang itu bagaimanapun tidak mencukupi dan kebanyakan daripada lebih 300 penarik beca sangat miskin serta terdesak.

“Kami tidak kisah kerja sebagai tukang sapu jalan, penjaga bangunan atau kerja rencam lain buat masa ini,” katanya ketika ditemui di luar Masjid Kapitan Keling di Lebuh Pitt semalam.

Abdul Latiff Mohd

Majlis Bandaraya Pulau Pinang memberi bayaran insentif RM20 setiap minggu kepada semua penarik beca, manakala kerajaan negeri memberi bayaran “one-off” RM500 kepada 318 penarik beca baru-baru ini.

Latiff, 73, berkata kebanyakan penarik beca ialah warga emas dan semua beca di George Town disewa daripada sebuah syarikat yang mengenakan bayaran RM2 sehari.

Dahulu, kebanyakan penarik beca boleh meraih sekurang-kurangnya RM1,000 hingga RM1,300 sebulan, dengan 75% daripada pelancong asing.

Katanya, keadaan lebih baik apabila kapal persiaran berlabuh kerana warga asing membayar tambang dan tip dengan dolar AS.

Sebaliknya, beliau berkata, penduduk tempatan hampir tidak pernah menaiki beca walaupun ia merupakan mod pengangkutan tertua di Pulau Pinang.

“Sekarang kami bergantung kepada kemurahan hati orang asing. Kami meminta sedikit wang atau makanan. Kebanyakan ahli kami sekarang tinggal di beca mereka.”

Latiff berkata, terdapat kira-kira 120 penarik beca aktif yang kebanyakannya mengenakan bayaran RM40 hingga RM60 sejam untuk mengelilingi Tapak Warisan Dunia George Town.

Bagi penarik beca di Pulau Pinang, tiada pelancong bermakna tiada pendapatan.

Penarik beca, Bakri Abdullah, 60, berkata: “Hari ini sukar mencari RM1 atau RM2. Saya sanggup buat apa saja, sapu jalan, longkang.”

Seorang lagi penarik beca, Mohd Ibrahim Mohd, 67, berkata beliau pernah mendapat RM20 hingga RM60 sehari dahulu.

Latiff berkata, kumpulannya terbuka kepada cadangan seorang ahli perniagaan lebih baik untuk mereka bekerja sebagai tukang sapu sementara dengan majlis perbandaran.

“Sekurang-kurangnya kita ada kerja dan mempunyai sedikit wang sehingga keadaan bertambah baik.”

Ahli perniagaan, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, yang membantu penarik beca di Lebuh Pitt dari semasa ke semasa, berharap majlis perbandaran akan mengambil penarik beca sebagai pembersih.

“Hampir 75% pelanggan mereka ialah warga asing, bagaimana mereka mahu bertahan sehingga akhir tahun tanpa sebarang bantuan? Saya rasa kerajaan Pulau Pinang perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan kerja di majlis perbandaran bagi mereka. Saya nampak kesanggupan mereka.”