3 daripada 5 hilang kerja belia bawah 40 tahun, kata penganalisis

Zouhair Rosli berkata, belia yang bekerja sendiri sepatutnya terus menerima bantuan kerajaan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan sehingga akhir tahun ini.

KUALA LUMPUR: Tiga daripada 5 pekerja yang hilang pekerjaan beberapa bulan lalu berumur 40 tahun ke bawah, dengan kebanyakan mereka daripada sektor tidak formal yang tidak menawarkan sebarang jaringan keselamatan sosial, kata pakar ekonomi DM-Analytic Sdn Bhd, Zouhair Rosli.

Beliau berkata, satu kaji selidik mendapati 3 daripada 5 pekerja sektor tidak formal berpendapatan kurang RM4,000 sebulan dan semasa penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19, sebanyak 50% daripada mereka hilang perniagaan.

“Sebanyak 2.5 juta rakyat Malaysia bekerja di sektor tidak formal. Bilangan belia berusia antara 20 hingga 30 tahun yang bekerja di sektor ini meningkat 2 kali ganda daripada 6% pada 2016 kepada 12% pada 2019, walaupun pekerjaan itu tidak menawarkan pendapatan tetap.

“Mereka yang berjaya mengekalkan pekerjaan melihat pendapatan mereka berkurang 90%. Golongan ini mengakui mereka tidak mempunyai simpanan cukup walaupun untuk bertahan sebulan,” katanya dalam sesi “Webinar Belia mengenai Covid-19: Cabaran dan Survival Golongan Belia” anjuran belia Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) semalam.

Beliau berkata, belia memerlukan campur tangan “luar biasa” daripada kerajaan untuk membantu mereka kembali ke landasan dan bantuan yang diberikan setakat ini tidak mencukupi bagi mereka yang bekerja sendiri atau diberhentikan.

Zouhair Rosli

Zouhair berkata, lebih banyak pekerjaan perlu diwujudkan untuk belia agar mereka selamat dalam tempoh krisis seumpama ini dan belia yang bekerja sendiri sepatutnya terus menerima bantuan kerajaan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan sehingga akhir tahun ini.

Sementara itu, wakil Majlis Belia Malaysia, Muhammad Abu Kadir Mubarak Ali berkata, pandemik Covid-19 berperanan menunjukkan kesan jurang perbezaan digital pelajar miskin untuk memenuhi keperluan pendidikan dalam talian yang kini menjadi normal baru kerana sekolah dan institusi pengajian tinggi ditutup sementara.

“Jurang ini begitu ketara dalam kalangan pelajar di sekolah dan kolej. Banyak keluarga, terutama di kawasan luar bandar tidak mempunyai komputer riba dan berdepan masalah capaian internet lemah atau tidak mempunyai internet. Kami mempunyai kes sebuah keluarga yang hanya mempunyai satu komputer riba dengan 5 anak yang bersekolah.

“Mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan komputer riba dan ia agak sukar untuk dilaksanakan pada waktu tertentu. Kerajaan perlu beri perhatian kerana jurang perbezaan digital yang besar ini memerlukan tindakan serius. Golongan yang paling terkesan adalah isi rumah daripada kumpulan B40 yang mempunyai keluarga besar.”

Oleh itu, beliau menekankan keperluan untuk Putrajaya mempercepatkan pelaksanaan perancangannya bagi menangani cabaran digital yang dihadapi pelajar miskin.