Polis ambil kenyataan ahli politik ikut keperluan undang-undang, bukan tekanan, kata KPN

Polis ambil kenyataan ahli politik ikut keperluan undang-undang, bukan tekanan, kata KPN

Beberapa ahli politik, termasuk Hannah Yeoh dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil untuk memberi keterangan susulan laporan yang dibuat terhadap mereka.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, tindakan memanggil beberapa ahli politik sepatutnya dibuat lebih awal, namun tertangguh susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lepas.
IPOH:
Tindakan polis memanggil beberapa ahli politik bagi merekod kenyataan bukan disebabkan desakan mana-mana pihak, tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan undang-undang, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, tindakan tersebut dibuat selepas pihaknya menerima dan meneliti laporan yang dibuat oleh individu tertentu di seluruh negara terhadap ahli politik berkenaan berkaitan isu politik.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamanahkan saya sebagai ketua polis negara, saya beri jaminan polis tidak diberi tekanan untuk mengambil tindakan, seolah-olah menekan mana-mana kumpulan atau parti politik, saya tidak benarkan,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beberapa ahli politik termasuk bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh dan bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan susulan laporan polis dibuat terhadap mereka.

Abdul Hamid, berkata tindakan memanggil beberapa ahli politik sepatutnya dibuat lebih awal, namun ia tertangguh disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

“Tindakan memanggil ini bukan menangkap. SOP yang dijalankan adalah memanggil mereka mengikut tarikh diberikan dengan mengambil kira waktu senang mereka. Mereka hadir dan beberapa soalan ditanya berdasarkan laporan polis yang diterima.

“Sekiranya selepas proses soal jawab tadi, polis mengesan wujudnya perbuatan fitnah, maknanya individu ini difitnah, kita akan mengambil tindakan mencari pula orang yang memfitnah,” katanya sambil menegaskan pegawai tidak dibenarkan menggunakan kekerasan sepanjang proses merekodkan kenyataan.

Mengulas tangkapan 18 pegawai dan anggota polis serta tentera kerana disyaki terbabit menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di Johor, Abdul Hamid berkat,a siasatan akan diteruskan untuk mendapatkan identiti ahli sindiket itu.

Beliau berkata, polis akan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 agar kesemua yang ditahan tidak dibenarkan ikat jamin dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan ditangkap.

“Siapa yang berani buat kena tanggung, tiada kompromi. Kita amat fokus dalam usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan 18 pegawai dan anggota polis serta tentera yang kesemuanya lelaki berumur antara 24 hingga 41 ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah negeri kerana dipercayai menyalurkan maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing serta dadah dengan memperoleh bayaran RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.