Pemandu hanya boleh tunggu 10 minit dalam kereta di Jalan Masjid India

Pemandu hanya boleh tunggu 10 minit dalam kereta di Jalan Masjid India

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Dahlan berkata, kenderaan mereka yang ingkar akan ditunda.

DBKL mahu mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Masjid India.
KUALA LUMPUR:
Pemandu hanya dibenar menurunkan penumpang atau menunggu di dalam kenderaan maksimum 10 minit di Jalan Masjid India yang sibuk berdasarkan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kenderaan mereka yang ingkar akan ditunda, kata Datuk Bandar Nor Hisham Dahlan susulan mesyuarat dengan Persatuan Perniagaan Jalan Masjid India semalam.

“Kami akan menempatkan 3 trak penunda di sepanjang jalan bagi memastikan peraturan lalu lintas dipatuhi. Matlamat kami ialah mengurangkan kesesakan di sana,” katanya kepada FMT.

Hisham berkata, kenderaan dilarang diparkir di depan kedai dan mereka yang mahu berbuat demikian boleh melakukannya di tempat letak kenderaan bertingkat di Bangunan PT80.

“Terdapat 300 tempat letak kenderaan di dalam Bangunan PT80 yang baru dibina di Jalan Lorong Bunus 4,” katanya sambil menambah trafik di kawasan itu meningkat 30% ketika pasar malam dan cuti umum.

Beliau berkata, pemandu boleh meletak kenderaan mereka di PT80 secara percuma sehingga 5 Julai ini untuk mereka membiasakan diri dengan aturan baru itu.

Selepas tarikh itu, mereka akan dikenakan bayaran RM3 bagi jam pertama dan tambahan RM1 bagi setiap jam berikutnya dengan maksimum bayaran RM15 sehari.

Tempat letak kenderaan itu dibuka 24 jam sehari dan hanya bayaran menggunakan Touch ‘n Go diterima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.