Wanita dipenjara 5 tahun, denda RM18,000 pandu lawan arus bunuh pemandu lain

Ng Pei Ven (baju putih) keluar dari Mahkamah Majistret di Bukit Mertajam pada September 2019.

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 5 tahun dan denda RM18,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas didapati bersalah memandu secara melulu serta melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki 3 tahun lalu.

Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menjatuhkan hukuman itu ke atas Ng Pei Ven, 22, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Ng dihukum penjara 24 bulan jika gagal membayar denda itu serta lesen memandu percubaannya dibatalkan dan tertuduh hilang kelayakan memohon lesen memandu selama 5 tahun dari tarikh sabitan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara rayuan terhadap keputusan hari ini didengar di Mahkamah Tinggi dan menaikkan ikat jamin daripada RM7,000 kepada RM12,000.

Sebaik hukuman diumumkan, Ng yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menangis dan beberapa kali mengesat air mata.

Pada 24 Mac 2017, Ng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara pada 7.50 pagi 14 Mac 2017.

Ng didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari, manakala Ng diwakili peguam Lim Boon Beng.