
Jurucakap Jabatan Pertahanan Kanada, Jessica Lamirande berkata, keputusan itu dibuat selepas tentera Kanada mendapati seorang individu di pangkalan tentera Trenton, Ontario, lokasi pesawat itu berlepas Khamis lalu, disahkan positif Covid-19.
Katanya, individu itu mungkin bertembung dengan 70 penumpang dan anak kapal dalam pesawat berkenaan.
“Kesihatan dan kesejahteraan anggota, sekutu serta rakan kami di Latvia adalah keutamaan kami.
“Oleh itu, keputusan dibuat untuk pesawat terbabit berpatah balik, bukan mendarat di Latvia bagi mencegah kemungkinan risiko penyebaran virus itu,” katanya kepada AFP pada Ahad lalu.
Anggota tentera terbabit akan dikuarantin 14 hari di pangkalan tentera Trenton sebelum ditugaskan semula.
Lamirande berkata, kejadian itu tidak akan memberi kesan besar terhadap misi Kanada di Latvia.
Kira-kira 540 tentera Kanada dikerahkan ke Latvia, di mana negara Amerika Utara itu mengetuai sekumpulan tentera Nato sejak 2017.