PH komited Anwar calon PM, beri mandat runding dengan Shafie

PETALING JAYA: Pakatan Harapan mengumumkan gabungan itu “komited” dengan pendirian asal berhubung calon perdana menterinya, iaitu Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Pengumuman ini menyusuli mesyuarat majlis presiden PH, yang turut membincangkan pencalonan Presiden Warisan, Shafie Apdal.

“Majlis presiden membincangkan usaha-usaha mengembalikan mandat rakyat dan PH sebagai Kerajaan Persekutuan…PH komited dengan pendirian asal Anwar sebagai calon perdana menteri,” katanya dalam kenyataan yang ditandatangani Anwar, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dengan sasaran untuk menjadi kerajaan semula, majlis itu memberikan “mandat penuh” kepada Anwar untuk mendapatkan sokongan sekutu PH.

“Majlis presiden memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Shafie,” katanya.

Bubar kerajaan

Sementara itu, majlis presiden PH berpandangan kerajaan di negeri yang ditadbirnya wajar diteruskan dan tidak dibubarkan sekiranya berlaku pilihan raya umum tergempar.

“Majlis presiden konsisten dengan pendirian fokus kerajaan persekutuan dan negeri ialah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, ia mengisytiharkan PH sebulat suara menolak usul Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin menggugurkan Speaker Dewan Rakyat, Ariff Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang minggu depan.