Tak patut dedah butiran warga Bangladesh dari dokumentari Al Jazeera, kata aktivis

Komen-komen, yang kebanyakannya seakan xenofobia, mengulas catatan Facebook imigresen yang mencari pekerja warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir.

PETALING JAYA: Peguam hak asasi mengkritik tindakan pihak berkuasa mendedahkan butiran peribadi seorang pekerja Bangladesh yang bercakap tentang dakwaan diskriminasi oleh pegawai imigresen, langkah yang mencetuskan komen anti-pendatang asing dan xenofobia di Facebook jabatan itu.

Semakan di laman web rasmi imigresen menunjukkan ribuan komen daripada pengguna, kebanyakannya menyokong keganasan terhadap Md Rayhan Kabir, seorang pendatang asing yang ditembual dalam dokumentari Al Jazeera yang mengundang kontroversi.

“Kalau nampak tampar dulu sekali dua,” tulis pengguna Facebook bernama Hertonnye Linggom, mengulas gambar Rayhan yang dimuat naik ke Facebook Jabatan Imigresen.

“Moh kita ramai-ramai rakyat Malaysia bantu cari sampai dapat. Sekejap saja akan berjaya. Jangan lupa jangan ikat pakai tali, pakai dawai,” cadang seorang lagi pengguna bernama Ku Lim Ku.

Rayhan, 25, menjadi sasaran pihak berkuasa selepas dia muncul dalam episod program 101 East terbitan Al Jazeera tentang dakwaan penganiayaan terhadap pendatang asing semasa tempoh kawalan baru-baru ini.

“Mereka buat perangkap untuk kami. Mereka beri makanan, mereka beri ubat. Semua benda ini mereka berikan. Jadi, tiada seorang pun sangka mereka akan tangkap orang,” kata Rayhan dalam dokumentari “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”, yang menumpukan pada layanan kerajaan terhadap pendatang asing semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengawal pandemik Covid-19.

“Mereka bukan pembunuh. Mereka bukan penjenayah. Mereka hanya tidak ada dokumen,” kata Rayhan dalam episod 25 minit itu.

Polis kemudian menyiasat saluran berita yang berpangkalan di Qatar itu kerana menghasut.

Tangkap layar program 101 East Al Jazeera, memaparkan pekerja Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang dikehendaki imigresen.

Aktivis berkata, Rayhan sekarang mungkin jadi sasaran tindak balas walaupun tidak melakukan sebarang jenayah yang mewajarkan pemburuannya di seluruh negara.

John Quinley daripada kumpulan hak asasi Fortify Rights yang berpangkalan di Bangkok, berkata Rayhan hanya menyuarakan masalah dihadapi ramai pendatang asing dan pelarian di pusat tahanan imigresen.

“Kerajaan tidak patut menyasarkan individu yang bercakap kepada media mengenai masalah dihadapi pendatang asing,” katanya kepada FMT.

Beliau menyifatkan tindak balas pihak berkuasa terhadap teguran Rayhan sebagai “tindakan untuk menakut-nakutkan”.

Katanya, “kerajaan sepatutnya melindungi pendatang asing, bukannya menakut-nakutkan mereka”.

Selasa lalu, gambar Rayhan disiarkan beberapa laman berita bersama butiran pasport Bangladeshnya yang didedahkan imigresen kepada media.

Pihak berkuasa berkata, Rayhan dikehendaki untuk siasatan bawah Akta Imigresen 1959/63.

Ratusan pekerja asing ditahan di Kuala Lumpur ketika pelaksanaan PKP dan mereka kemudiannya ditempatkan di pusat tahanan imigresen.

Kerajaan dilaporkan berkata, langkah itu perlu untuk mengurangkan risiko Covid-19 dalam kalangan pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin.

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 di pusat tahanan membawa kepada dakwaan bahawa tahanan ditempatkan dalam persekitaran yang sesak. Dakwaan itu ditepis Putrajaya.

Seorang aktivis hak asasi tempatan, Muhammad Afiq Noor berkata notis “orang dikehendaki” terhadap Rayhan itu adalah tidak wajar.

“Perkara yang dia bangkitkan dalam dokumentari itu dibenarkan undang-undang dan berasas,” tambahnya.

Pendatang asing ditahan dalam serbuan di Kuala Lumpur semasa tempoh kawalan mengekang penularan Covid-19.

Katanya, dakwaan dalam dokumentari itu bukanlah perkara baru, dan pernah dibangkitkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

“Kita sebagai sebuah negara ada tanggungjawab dari segi undang-undang dan keagamaan untuk melayan pendatang asing secara bermaruah dan mendukung hak asasi mereka termasuk kebebasan bersuara,” kata Afiq kepada FMT.

“Sekiranya imigresen dapati ada sesuatu yang tidak betul dalam dokumentari itu, keluarkanlah kenyataan menyangkalnya.

“Intimidasi terhadap media dan pendatang asing adalah sesuatu yang tidak perlu dan mengancam demokrasi,” katanya.

Afiq, yang juga seorang peguam, berkata imigresen diberi mandat oleh undang-undang untuk melancarkan siasatan terhadap kesalahan dalam bidang kuasanya, termasuk mendedahkan butiran peribadi.

Tetapi tidak jelas apakah kesalahan Rayhan, katanya.

“Kalau ia berkenaan kritikannya dalam dokumentari itu, itu bukanlah suatu kesalahan dalam Akta Imigresen.

“Kenapa mereka tak sebut dia disiasat bawah peruntukan dan seksyen apa? Kenapa hanya dia sahaja? Adakah kerana dia muncul dalam dokumentari itu dan mengkritik cara kita urus pendatang asing semasa PKP?” katanya.

Jika kesalahan Rayhan adalah menetap secara haram, tidak wajar edarkan posternya kerana ia boleh mendorong xenofobia.

“Kebimbangan sebenar adalah imigresen nampak seperti cuba senyapkan kritikan. Tindakan itu (mengeluarkan notis) tidak perlu.”

Jurucakap Majlis Peguam tentang hal ehwal pendatang asing dan pelarian, M Ramachelvam pula berkata imigresen diberi kuasa untuk menyiasat atau memanggil saksi.

Beliau berkata yang menjadi masalah adalah ketiadaan dasar yang jelas tentang pekerja asing.

Katanya, ada perbezaan antara pendatang asing yang tiada dokumen kerana keadaan tertentu dengan mreka yang memasuki negara secara haram.

Menurutnya, ramai jadi “haram” selepas ditipu majikan atau ejen, atau melarikan diri daripada majikan yang mendera.

“Kerajaan perlu kemukakan penyelesaian yang komprehensif dan holistik. Mereka harus kemukakan apa yang sudah banyak kali dicadangkan – program pengampunan dan pemutihan, supaya kita betul-betul tangani masalah ini,” katanya.