
Pemandu itu, yang minta namanya dirahsiakan, berkata pemandu Grab perlu mengemas kini dokumen seperti cukai jalan, insurans, dan geran kereta setiap tahun bagi memastikan akaun aktif.
Sebelum ini, Grab mengambil masa kurang 3 jam untuk mengesahkan dokumen berkenaan. Namun, mengikut polisi pengesahan baru, proses itu boleh boleh memakan masa hingga 10 hari bekerja.
Katanya, dalam tempoh proses pengesahan, akaun pemandu akan digantung dan mereka tidak dapat menerima tempahan.
“Bagaimana kami hendak bertahan selama 10 hari tanpa pendapatan? Saya satu-satunya yang menanggung keluarga,” katanya kepada FMT.
Pemandu itu mendakwa, dia ke pusat Grab meminta penjelasan namun pegawai perkhidmatan pelanggan tidak dapat membantunya.
“Pegawai itu kata mereka perlukan masa untuk memproses kerana bilangan pemandu semakin meningkat,” katanya.
Dia yang sudah 5 tahun bekerja sepenuh masa dengan syarikat e-panggilan itu mendakwa, banyak polisinya “berat sebelah”.
Dia percaya pemandu lain turut berdepan masalah sama tetapi tidak tampil ke depan.
Lelaki itu akui dia cuba bekerja dengan syarikat e-panggilan lain namun tempahan yang diperoleh tidak mencapai sasarannya.
“Pendapatan daripada syarikat lain tidak cukup menanggung kos sara hidup saya,” katanya, mendesak Grab mengkaji semula proses pengesahan dokumen terutama bagi pemandu sepenuh masa.
FMT sudah menghubungi Grab untuk mendapatkan komen.