Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Najib Razak dikecualikan hukuman sebat atas faktor umur.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib Razak yang didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan 3 dakwaan pengubahan wang, selepas kerajaan Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum 2018.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyalahgunaan kuasa atau tambahan 5 tahun penjara, jika gagal membayar denda itu.

Bekas perdana menteri berusia 67 tahun itu turut dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu daripada 3 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang.

Ahli Parlimen Pekan itu dikecualikan hukuman sebat kerana umurnya.

Hakim mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak, bermakna Najib hanya perlu dipenjarakan 12 tahun.

Nazlan membenarkan permohonan pasukan pembelaan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara disebabkan jumlah tinggi denda yang dikenakan.

“Bagaimanapun, ikat jamin tertuduh dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM2 juta dengan 2 penjamin. Jumlah (tambahan) itu perlu dibayar esok.”

Nazlan turut mengarahkan Najib melaporkan diri ke balai polis pilihannya setiap 1 dan 15 haribulan.

Terdahulu, Nazlan berkata, beliau mengambil kira kepentingan awam dan kesejahteraan Najib dalam menentukan hukuman yang akan dijatuhkan.

“Saya mempertimbangkan peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram serta Kanun Keseksaan.”

Beliau turut menilai sumbangan Najib kepada negara dan pertumbuhan ekonomi berbanding hakikat kesalahan yang dilakukan Najib sebagai perdana menteri.

Katanya, trend hukuman perlu mencerminkan dasar utama pencegahan dan balasan.

Najib ialah bekas perdana menteri pertama di negara ini yang dibicarakan dan disabit bersalah atas pertuduhan jenayah susulan tindakannya ketika memegang jawatan itu.