Musa Aman dakwa raih majoriti mudah bentuk kerajaan baru di Sabah

Musa Aman (bersongkok) ditemani Adun yang menyokongnya mengadakan sidang media di rumahnya di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman hari ini mengumumkan beliau mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baru selepas mendapat sokongan mencukupi daripada Adun negeri itu.

Adun itu datang daripada Warisan, PKR, PPBM dan Umno Sabah.

“Langkah seterusnya ialah menemui gabenor Sabah dan menyerahkan akuan berkanun (SD) daripada Adun kepada beliau,” kata Adun Sungai Sibuga itu pada sidang media di rumahnya di sini.

Spekulasi timbul beberapa minggu ini yang perubahan akan berlaku dalam kerajaan Sabah berusia 27 bulan pimpinan Warisan dan Musa, ketua menteri paling lama berkuasa, dikatakan akan kembali menerajui negeri itu.

Sumber dilaporkan berkata, 14 hingga 16 Adun gabungan parti pemerintah akan bertukar kem, menyebabkan pembangkang yang kini mempunyai 20 Adun, mendapat kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baru.

Terdapat 65 kerusi DUN di Sabah.

Dakwaan perubahan kerajaan negeri meningkat selepas kejatuhan kerajaan PH di Putrajaya kepada Perikatan Nasional (PN) pada Februari lalu.

Keretakan pertama dalam kerajaan negeri itu didedahkan bulan lalu apabila Adun Sugut, James Ratib dan Adun Kuala Penyu, Limus Jury meninggalkan Upko, sebuah daripada parti komponen.

Hari ini, Musa berkata, Gabenor Juhar Mahiruddin meminta beliau menunjukkan bukti SD yang ditandatangani Adun menyokongnya.

“Saya menerima SD daripada Adun yang mengesahkan pendirian mereka menyertai gabungan baru diketuai saya.

“Saya juga ingin memaklumkan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan setiausaha politik kepada perdana menteri membuat kunjungan hormat kepada gabenor pagi ini untuk memaklumkan gabungan baru yang menyokong PN telah memperolehi sokongan majoriti untuk membentu kerajaan baru.”

Antara mereka yang hadir dalam sidang media hari ini ialah Kenny Chua daripada PKR (Inanam), Ronnie Loh daripada DAP (Adun dilantik) dan Osman Jamal daripada Warisan (Balung), Hamisa Samat (Tanjung Batu), Musbah Jamli (Tempasuk), Bolkiah Ismail (Pitas), Anita Baranting (Tandek) serta Abidin Madingkir daripada Upko (Paginatan).

Musa tidak menyatakan jumlah majoriti yang diperolehinya, tetapi berkata gabungan itu akan merangkumi wakil rakyat daripada Umno Sabah, PPBM, STAR, PBS dan Adun PKR, DAP, Warisan serta Upko.

Katanya, kerajaan negeri baru itu, jika berjaya ditubuhkan, akan tampil dengan dasar lebih baik untuk membebaskan Sabah daripada keadaan ekonomi sedia ada disebabkan kerajaan pimpinan Warisan.

Beliau berkata, negeri itu turut menunjukkan “kelemahan” dalam cara menangani pandemik Covid-19.

“Dengan bantuan kerajaan persekutuan, saya percaya kami boleh menangani cabaran untuk menggerakkan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan menambah baik kehidupan rakyat.”

Musa turut mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya atas kesetiaan mereka dan hanya mengharapkan komitmen serta dedikasi penuh mereka.