Pemuda Amanah cadang PH Sabah, Upko guna lambang Warisan

PETALING JAYA: Pemuda Amanah mencadangkan Pakatan Harapan Sabah dan Upko menggunakan lambang Warisan pada pilihan raya negeri akan datang, bagi menunjukkan kesatuan dan “sokongan tidak berbelah bagi” kepada parti itu.

Pengarah Komunikasi Khairuddin Daud berkata parti yang mendokong kepimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal wajar menggunakan lambang parti beliau “sebagai tanda solidariti kita mempertahankan mandat rakyat pada PRU-14 dan menolak pemimpin-pemimpin politik yang tidak berprinsip.”

Katanya lagi, Adun Warisan bertahan “mempertahankan mandat rakyat” sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan “meskipun diugut, ditekan, dan cuba dibeli oleh pemimpin Perikatan Nasional”.

Rata-rata rakyat Sabah khususnya anak muda menolak pemimpin “katak” dan kecewa dengan sikap pemimpin politik yang mementingkan periuk nasi sendiri, katanya.

PRN Sabah bakal berlangsung selepas Shafie mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 30 Julai lalu.