Kerusi Kadazandusun Murut jadi rebutan dalam pilihan raya Sabah, kata penganalisis

Joseph Pairin Kitingan (dua dari kanan) dan Jeffrey Kitingan (kanan) pada acara komuniti Kadazandusun Murut di Penampang, Sabah tahun lepas.

KOTA KINABALU: Beberapa pertarungan sengit dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah dijangka melibatkan kerusi majoriti etnik Kadazandusun Murut (KDM) dengan persaingan rapat antara Warisan Plus dengan pembangkang.

Pada pilihan raya umum lepas, Barisan Nasional (BN) Lebih berjaya daripada Warisan, dengan memenangi 15 kerusi majoriti KDM melalui Umno, PBRS dan parti komponennya, PBS dan Upko, ketika itu.

Warisan yang kini bersama-sama Upko, berharap untuk meraih kejayaan lebih besar berbanding 3 kerusi KDM yang dimenanginya. Upko menang 5 kerusi dalam PRU14.

Walaupun parti penyandang biasanya berjaya mempertahankan kerusi mereka, namun penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak Arnold Puyok percaya keadaan sekarang boleh memihak kepada mana-mana parti.

Beliau berkata, kehadiran banyak parti politik yang berharap untuk menang akan menatijahkan PRN yang sesak tanpa mana-mana parti boleh mendakwa memiliki kelebihan besar di kerusi KDM.

Puyok berkata, komuniti KDN juga ketiadaan pemimpin yang mempunyai ketokohan seperti bekas presiden PBS Joseph Pairin Kitingan, yang merupakan Huguan Siou (pemimpin agung komuniti KDM).

Beliau berkata, walaupun adik Pairin, Jeffrey, yang merupakan presiden STAR, memiliki “faktor penarik”, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia mencukupi untuk menarik undi kepada pihak pembangkang.

“Nampaknya perpecahan sokongan KDM akan melebar,” katanya kepada FMT.

Arnold Puyok

“Sabah tidak pernah menyaksikan blok pembangkang yang kuat. Seperti terbukti sebelum ini, mereka akan bertelagah sekiranya rundingan pembahagian kerusi gagal.”

22 daripada 60 kerusi negeri yang dipertandingkan pada Mei 2018 dianggap kawasan majoriti KDM, namun pada PRN akan datang, kemungkinan terdapat sekurang-kurangnya 4 lagi kerusi majoriti etnik itu daripada 13 kerusi baru yang diwujudkan.

Ini bermakna, kerusi KDM kini mewakili lebih 1/3 daripada 73 kerusi yang menjadi rebutan dalam PRN ke-16 yang mesti diadakan menjelang 29 September depan.

Dengan hanya 50 hari berbaki, selain gabungan Warisan-Upko-PKR-DAP, tidak jelas gabungan lain yang akan bersaing dalam pilihan raya itu.

Rakan kongsi gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan, iaitu Umno/BN Sabah, PPBM Sabah, PBS dan STAR, kelihatan bergerak secara berasingan walaupun kebanyakan mereka menyuarakan kesediaan untuk berunding mengenai pembahagian kerusi.

Mereka berharap untuk mencapai persetujuan bagi menentang Warisan Plus secara satu sama satu bagi menambah peluang kemenangan di kerusi majoriti KDM.

PBS, yang merupakan parti berbilang kaum, tetapi umumnya didominasi oleh etnik KDM baru-baru ini berkata, ia akan bertanding di 30 kerusi.

Ia menang 6 daripada 13 kerusi yang ditandinginya pada Mei 2018.

STAR, yang menang 2 kerusi di kawasan majoriti KDM pada PRU14 juga dijangka akan menuntut lebih banyak kerusi bagi memperkuat kedudukannya di negeri itu.

Parti itu, yang mendapat sokongan di kawasan pedalaman, memperoleh kerusi tambahan apabila Ellron Angin (Sook) berpindah dari PBRS pada Disember 2018.

Parti Cinta Sabah (PCS) yang diketuai bekas menteri luar Anifah Aman juga merupakan sebuah lagi parti tempatan yang tidak boleh dipandang mudah, kata pemerhati politik.

Ia merupakan parti berteraskan KDM sebelum ini, tetapi kini berubah menjadi parti berbilang kaum.

Parti kecil lain seperti Parti Kerjasama Anak Negeri dan parti Gagasan Rakyat Sabah juga berkemungkinan masuk gelanggang.

Dalam pada itu Puyok berkata, Warisan mungkin berdepan masalah untuk memberikan kepercayaan kepada Upko mengepalai cabaran di kerusi majoriti KDM.

Dengan Upko dikritik hebat kerana mengubah sokongan daripada BN kepada Warisan selepas PRU14, Puyok berkata, Warisan sedar bahawa langkah membenarkan Upko bertanding di kebanyakan kerusi boleh menjadi liabiliti.

“Apakah dengan berbuat demikian sokongan etnik KDM kepada Warisan akan larut? Memang sukar bagi mereka (Upko) kerana ia akan berdepan dengan PBS, STAR dan juga PCS,” katanya.

Puyok berkata, Upko juga kini melalui proses penjenamaan semula dan perlu keluar dari kerusi KDM.

“Mungkin berisiko, tetapi jika ia tidak melakukannya, maka ia akan terus dicop sebagai parti KDM. Upko perlu melangkah ke kawasan bukan-KDM jika ia mahu dilihat sebagai parti berbilang kaum.

“Pada masa ini, Upko perlu menangani 2 isu, iaitu senarai calon dan kesediannya untuk berunding dengan Warisan dan sekutu PHnya,” katanya.