Tok Mat cadang Aminuddin bubar DUN N Sembilan

Tok Mat cadang Aminuddin bubar DUN N Sembilan

Timbalan presiden Umno berkata sebaiknya menteri besar mengembalikan mandat semula kepada rakyat.

mohamad hasan n aminuddin
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, berkata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun perlu bubar DUN jika sudah tidak lagi mendapat kepercayaan Adun.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mencadangkan Menteri Besar Aminuddin Harun menimbangkan pembubaran DUN Negeri Sembilan yang disifatkan jalan terbaik meredakan krisis politik.

Katanya, Aminuddin perlu mengembalikan semula mandat kepada rakyat dalam membuat keputusan untuk memilih pentadbir negeri yang baharu, memandangkan 14 Adun Umno sudah hilang kepercayaan terhadapnya.

“Kalau Aminuddin sudah tidak dapat lagi kepercayaan majoriti daripada Ahli Dewan, sebaiknya beliau membubarkan DUN dan kita pulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang mereka nak untuk mentadbir semula Negeri Sembilan.

“Jangan kita bising ‘kulu-kilir’, ia menyebabkan rakyat rasa tak tenteram. Sudahlah dengan keadaan dunia tidak stabil dengan perang, jadi kita buat elok-elok,” katanya menurut Utusan Malaysia, di Seremban.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu, berkata penyertaan Umno dalam kerajaan perpaduan adalah bagi tujuan mengurus pentadbiran negara secara bersama, bukan untuk mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Katanya, setiap isu berkaitan sokongan dan keabsahan kerajaan perlu diselesaikan mengikut saluran demokrasi serta peruntukan undang-undang yang betul.

“Tidak timbul soal tidak boleh bersidang. Dewan boleh bersidang dengan syarat mendapat perkenan Tuanku. Dewan mesti diprorog dan dinotiskan terlebih dahulu sebelum bersidang,” katanya sambil menambah DUN merupakan platform menentukan keabsahan keajaan negeri.

Pada 30 April, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata 14 Adun Umno Negeri Sembilan kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri, di sebalik penarikan sokongan terhadap Aminuddin sebelum itu.

Zahid berkata, pendirian itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan semua Adun terbabit bagi meneliti semula keadaan sebenar serta memperbetulkan persepsi yang timbul.

Menurutnya, ada tafsiran berbeza terhadap tindakan mereka sebelum ini dan menjejaskan penarikan sokongan terhadap menteri besar bukan bertujuan ‘menebuk atap’ atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang.

“Kita tidak berhajat untuk ‘retract’, sebaliknya mahu membetulkan persepsi iaitu ia satu langkah yang berniat baik agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati dan dapat didukung oleh semua rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.