
“Kembalilah ke Rumah Bangsa, kita bina negara bersama,” katanya dalam catatan Facebook.
Kenyataan Asyraf itu menyusul selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendedahkan parti itu sedang mengkaji dan menilai semula hubungan politiknya dengan Bersatu, sekutu utamanya dalam gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).
Hadi memberi amaran kepada Bersatu kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam gabungan itu.
Katanya, PAS telah mengkaji satu persatu tindakan Bersatu termasuk tindakan Adun Bersatu di Negeri Sembilan menyokong Umno untuk membentuk kerajaan negeri, peralihan kuasa di Perlis serta campur tangan dalam pelantikan exco di Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.
Bagaimanapun, Hadi menutup pintu rundingan untuk kembali mengikat tali persahabatan dengan Umno sekiranya parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu kekal dalam kerajaan perpaduan bersama DAP.
“Tak timbul (isu kerjasama). Tak ada kerjasama dengan Umno kalau Umno bergabung dengan DAP,” katanya.