PAS sudah beri peringatan kepada Nik Zawawi, kata Hadi

PAS sudah beri peringatan kepada Nik Zawawi, kata Hadi

Presiden PAS berkata ada perbezaan antara penulisan sejarah dengan al-Quran serta hadis.

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
Nik Muhammad Zawawi Salleh kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS sudah memberi peringatan kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kontroversi kenyataannya mengenai latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum kedatangan Islam, kata Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, beliau sendiri turut menulis mengenai perkara berkenaan dalam artikel disiarkan Harakah iaitu lidah rasmi parti itu.

“Kita telah memberi peringatan kepada beliau,” katanya pada sidang media di Marang, Terengganu mengulas tindakan PAS terhadap Zawawi susulan kontroversi itu.

Hadi juga menjelaskan ada perbezaan antara penulisan sejarah dengan al-Quran dan hadis, sambil menegaskan sejarah tidak boleh dijadikan dalil dalam Islam.

“Sejarah ini dia bebas, cerita dongeng pun ada macam-macam.

“Mungkin dia terpengaruh dengan penulisan-penulisan sejarah. Sejarah tak boleh jadi dalil dalam Islam. Tak boleh,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas sedutan ceramah Nik Zawawi di Kuala Terengganu tular, apabila beliau didakwa membuat kenyataan tidak tepat mengenai latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum Islam.

Nik Zawawi kemudian memohon maaf dan mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan itu.

Beliau turut menegaskan kenyataannya tidak mewakili pendirian PAS atau kepimpinannya, selain berkata tujuan asalnya hanya untuk menjelaskan kehebatan risalah Islam dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan lebih mulia.

Zawawi kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Dewan Ulamak PAS Pusat sebelum ini turut menegur Nik Zawawi dan mengakui terdapat beberapa kesilapan fakta dalam ceramah berkenaan, khususnya membabitkan sahabat Nabi.

Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah, dilaporkan berkata teguran serta peringatan secara dalaman sudah diberikan kepada Nik Zawawi supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan fakta sejarah Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.