‘Sabar ada batas’, PAS sedia nilai semula kerjasama dengan Bersatu, kata Hadi

‘Sabar ada batas’, PAS sedia nilai semula kerjasama dengan Bersatu, kata Hadi

Presiden PAS berkata semua sudut akan dinilai termasuk impak positif dan negatif terhadap kerjasama sedia ada.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan dan memilih untuk mengambil pendekatan berhati-hati, namun menegaskan kesabaran parti itu ada batasnya.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Hadi Awang memberi amaran kepada Bersatu kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Hadi berkata PAS telah mengkaji satu persatu tindakan Bersatu, termasuk penarikan sokongan Adun Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri.

Tegasnya, PAS akan menilai semua tindakan dan kerjasama dengan Bersatu kerana pilihan raya semakin hampir serta sebarang keputusan perlu mengambil kira untung rugi politik.

“Sebab pilihan raya dah dekat dan kalau menjejaskan, kita bertindak mengikut apa yang sepatutnya,” katanya pada sidang media di Marang, Terengganu.

Hadi menegaskan selain isu di Negeri Sembilan, PAS juga tidak berpuas hati dengan perkembangan di Perlis menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke Bersatu dan campur tangan pelantikan exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.

Tambah Ahli Parlimen Marang, terbaharu pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau merujuk keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi PN, minggu lalu yang tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Difahamkan ketiadaan pengumuman itu susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu berkenaan akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin dan pengikutnya, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Ditanya sama ada PAS kecewa dengan Bersatu, Hadi berkata parti itu masih bersabar, namun memberi amaran kesabaran tersebut ada hadnya.

“Kita tak kecewa, kita sabar. Dan sabar ada batas. Itu nak beritahu, sabar ada batas dia,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan kritikan berkenaan tidak akan menjejaskan PN.

“PAS ialah pengerusi PN (Ahmad Samsuri Mokhtar) yang ada hak untuk beri simbol untuk tanding pilihan raya,” katanya.

Dalam isu di Negeri Sembilan, dua Adun Bersatu Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) dan Ridzuan Ahmad (Gemas) mengubah pendirian membentuk kerjasama dengan Umno yang telah menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Kenyataan Hadi dalam isu pelantikan exco Kedah pula mungkin merujuk pengganti Adun Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani sebagai exco pertanian, perladangan dan pengangkutan yang dipecat Bersatu.

Turut dipecat Timbalan Speaker DUN Kedah Abdul Razak Khamis yang juga wakil rakyat Sungai Tiang.

Bersatu juga sedang merancang pengganti timbalan speaker DUN Kelantan susulan pemecatan Adun Kok Lanas Farid Mohamed Zawawi oleh Bersatu walaupun PAS memimpin kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.