Pro canselor UiTM Abdul Rahman Arshad meninggal dunia

Pro canselor UiTM Abdul Rahman Arshad meninggal dunia

Abdul Rahman disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi tadi di rumahnya di Ampang, Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Arshad dilantik sebagai pro canselor UiTM pada 15 Disember 2002. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Abdul Rahman Arshad meninggal dunia pagi tadi pada usia 83 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang dekat sini.

Universiti itu dalam kenyataan hari ini berkata Abdul Rahman disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi tadi.

Jenazah akan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang, sebelum dikebumikan di Kampung Air Limau, Melaka.

Allahyarham dilantik sebagai pro canselor UiTM pada 15 Disember 2002 dan meninggalkan seorang isteri, Noor Hayati Mohamed.

Selain Abdul Rahman, 5 lagi pro canselor universiti itu ialah Ahmadshah Abdullah, Arshad Ayub, Sallehuddin Mohamed, Safri Awang Zaidell dan Zarinah Anwar.

Sementara itu, naib canselor UiTM Mohd Azraai Kassim dalam kenyataannya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Abdul Rahman.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad, pro-canselor UiTM telah kembali ke rahmatullah pada 16 Ogos 2020.

“Seluruh warga UiTM merakamkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.