
Dalam kenyataan hari ini, KPM berkata ia melibatkan kaedah pentaksiran baharu bagi tujuan kemasukan pelajar ke sekolah khusus, iaitu sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), sekolah menengah teknik (SMT), kolej vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).
Menurut kementerian, sistem itu melibatkan permohonan secara berpusat dan juga kaedah pentaksiran standard secara berpusat.
Permohonan kemasukan ke sekolah khusus itu melibatkan kemasukan ke SBP dan SMKA untuk tingkatan 1 dan 4, SMT dan MTD untuk tingkatan 4 dan kolej vokasional untuk tahun 1 sijil vokasional Malaysia.
Menurut kenyataan itu, permohonan untuk kemasukan ke tingkatan 1 boleh diakses melalui pautan https//:spskt1.moe.gov.my dan permohonan ke tingkatan 4 melalui pautan https//:spskt4.moe.gov.my.
Katanya, semua pemohon akan menduduki pentaksiran secara berpusat di 555 pusat pentaksiran ditetapkan di seluruh negara.
Tarikh bagi permohonan dalam talian untuk tingkatan 1 dan 4 adalah pada 7 September hingga 2 Oktober, manakala semakan pusat pentaksiran bagi tingkatan 1 pada 7 Oktpber hingga 23 Oktober dan tingkatan 4 pada 12 Oktober hingga 6 November.
Pelaksanaan pentaksiran akan dijalankan untuk tingkatan 1 pada 12 Oktober hingga 23 Oktober dan tingkatan 4 pada 26 Oktober hingga 6 November.
KPM memaklumkan pentaksiran kemasukan sekolah khusus yang akan dilaksanakan merangkumi 3 bahagian iaitu kecerdasan insaniah (20%), kecerdasan intelektual (70%) dan artikulasi penulisan (10%).
“Kaedah pelaksanaan ujian kecerdasan insaniah dan kecerdasan intelektual adalah secara dalam talian manakala kaedah pelaksanaan ujian artikulasi penulisan secara bertulis,” katanya.
KPM berkata, maklumat lanjut berhubung pentaksiran itu akan dimaklumkan melalui portal KPM pada 1 September.