RUU Covid-19 lulus bacaan ke-3 tanpa bantahan

RUU Covid-19 lulus bacaan ke-3 tanpa bantahan

RUU Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 lulus tanpa sebarang bantahan daripada para wakil rakyat.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 lulus bacaan ke-3 secara undian suara di Dewan Rakyat hari ini tanpa sebarang bantahan.

RUU itu, yang untuk mengadakan peruntukan bagi membiaya usaha mengurangkan kesan pandemik Covid-19, lulus bacaan pertama (dasar) dan kedua (teknikal) pada hari sama.

Membabitkan peruntukan RM45 bilion, RUU ini lulus selepas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, ketika penggulungan berkata kerajaan sedia menyuntik dana tambahan jika perlu, menjawab desakan wakil rakyat yang mahu peruntukan dinaikkan kepada RM90 bilion.

RUU ini antaranya merancang untuk menaikkan had amaun untuk jumlah wang yang boleh diperoleh di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) dan Akta Pendanaan Kerajaan bagi menubuhkan Kumpulan Wang Covid-19.

Selain itu, ia turut membenarkan wang tersebut digunakan untuk program bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi, termasuk RM16.8 bilion untuk subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja, dan bantuan latihan; dan RM11.2 bilion untuk Bantuan Prihatin Nasional.

Tengku Zafrul, ketika menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (BN-Pontian), menjelaskan sumber RM45 bilion itu daripada pinjaman langsung domestik.

Ahmad kemudian mencadangkan dividen khas Petronas digunakan untuk membantu bayaran balik pinjaman itu.

“Bayaran yang dibuat ini tidak guna dividen mana-mana syarikat. Dana ini kita tegaskan daripada pinjaman langsung domestik tanpa guna sebarang dana dividen syarikat,” kata menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.