Segera selesai ambil alih tanah, KSN beritahu kerajaan Kelantan

Segera selesai ambil alih tanah, KSN beritahu kerajaan Kelantan

Shamsul Azri Abu Bakar berkata proses ambil tanah yang lewat menyumbang kelewatan projek telah diluluskan kerajaan persekutuan.

Shamsul Azri Abu Bakar
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, berkata kekangan lain turut menyumbang kelewatan projek kerajaan persekutuan berkaitan kegagalan merancang memasuki tapak.
KOTA BHARU:
Isu kelewatan pengambilalihan tanah dikenal pasti antara faktor projek diluluskan kerajaan persekutuan di Kelantan tidak siap dalam tempoh ditetapkan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, kerajaan negeri secara prinsipnya perlu memastikan tanah untuk tapak pembinaan telah diselesaikan apabila sesuatu projek diluluskan.

“Masalahnya, sekarang bila projek dah diluluskan tanah belum diselesaikan, jadi kita kena buat pengambilan tanah dan proses mengambil tanah inilah yang akan mengambil masa yang lama.

“Pada masa yang sama kita kena selesaikan juga isu utiliti termasuk elektrik dan sistem perpaipan…ini juga akan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN bersama Anggota Perkhidmatan Awam Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim.

Shamsul Azri berkata, kekangan lain yang turut menyumbang kepada kelewatan projek ialah berkaitan kegagalan merancang untuk memasuki tapak.

Bagaimanapun, katanya masalah berkenaan masih terkawal dan boleh ditangani melalui kerjasama agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk pihak berkuasa tempatan sekali gus memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.

Sementara itu, beliau berkata reformasi perkhidmatan awam di Malaysia perlu disegerakan dengan mengambil kira cabaran pascanormal yang ditandai oleh 3C iaitu Complexity (Kerumitan), Chaos (Kekacauan), dan Contradiction (Percanggahan).

“Sebagai sebuah negara menuju matlamat berpendapatan tinggi, reformasi sektor awam perlu memastikan penjawat awam yang berprestasi tinggi dilengkapi kemahiran, nilai dan etika kerja terbaik.

“Perkhidmatan awam mestilah berpaksikan kepada people-centric atau berpaksikan rakyat dengan menambah baik kecekapan, menggalakkan inovasi, dan mengukuhkan ekosistem tatakelola,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.