
Beliau berkata, data terkini itu direkodkan hingga semalam, sejak inisiatif itu bermula 15 April lalu, sekali gus membantu kerajaan menangani bebanan kewangan susulan krisis bekalan global.
“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lalu.
“Walaupun tekanan subsidi (meningkat) mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Apresiasi “Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness” di sini, malam tadi.
Pada 30 April lalu, media melaporkan kerajaan berjaya menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pelaksanaan BDR membabitkan 200,000 penjawat awam.
Shamsul Azri berkata, bagi memastikan BDR dilaksanakan dengan berkesan serta tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, setiap ketua jabatan perlu berpegang kepada konsep TEGAS, iaitu tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif.
“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini.”
Beliau turut mengajak penjawat awam mengimbas kembali nilai MALAYSIA, iaitu mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif semasa memberikan perkhidmatan tanpa mengira status individu dalam masyarakat.
“Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk-datuk datang, kita senyum berseri, tapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama dengan kita layan Datuk-datuk?” soalnya.
Tegasnya, penjawat awam perlu memahami tanggungjawab digalas adalah amanah untuk dilaksanakan sebaik mungkin, bukan untuk dibangga-banggakan.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Ismail Bakar, berkata tugas ketua jabatan bukan amanah mudah kerana mereka memikul beban tanggungjawab besar.
“Sebarang kesalahan yang dibiarkan tanpa tindakan bukan sahaja menjejaskan jabatan, malah turut mencalar kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan.
“Sehubungan itu, peranan ketua jabatan amat kritikal dan mereka perlu sentiasa mengutamakan integriti dalam menterjemahkan amanah yang dipikul, selain memastikan keadilan ditegakkan segera tanpa sebarang kelengahan.”