Mula dengan tarik subsidi petrol golongan T1, kata ahli ekonomi

Mula dengan tarik subsidi petrol golongan T1, kata ahli ekonomi

Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kelompok itu mengikut data DOSM 2024, pendapatan median isi rumahnya mencecah RM55,034.

Kerajaan menanggung subsidi lebih RM6 bilion sebulan bagi bahan bakar sejak krisis perang global di Timur Tengah, lebih tinggi berbanding RM700 juta sebulan sebelumnya.
PETALING JAYA:
Cadangan supaya subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi (T20) ditarik balik wajar dipertimbang kerajaan, namun pelaksanaannya perlu dibuat berperingkat bermula kelompok berpendapatan paling tinggi, kata ahli ekonomi.

Mohd Afzanizam Abdul Rashid mencadangkan ia dimulakan dengan sub-kumpulan terkaya (T1) yang berdasarkan data Jabatan Perangkaan (DOSM) 2024 menunjukkan pendapatan median isi rumahnya mencecah RM55,034 sebulan diikuti T5 (pendapatan median RM20,738).

Menurut ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd itu, langkah berperingkat bagi kategori T20 bagi memastikan keharmonian dan keseimbangan jangka pendek.

“Langkah ini penting bagi membetulkan ketidakseimbangan subsidi pukal yang selama ini dilihat lebih memihak kepada orang kaya.

“Mereka cenderung menggunakan kenderaan berkuasa tinggi yang menggunakan lebih banyak bahan api,” katanya kepada FMT.

Tambah Afzanizam, pengurangan subsidi untuk T20 tidak seharusnya dilihat sebagai menafikan hak mereka, memandangkan mereka turut menikmati pelbagai kemudahan awam lain seperti infrastruktur, kesihatan dan keselamatan.

Rundingan Meja Bulat Nasional (Rimbun 2.0) anjuran Pemuda Umno antara lain meluluskan resolusi supaya subsidi petrol bagi kategori T20 ditarik balik.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata langkah rasionalisasi dan subsidi bersasar itu penting ketika negara berdepan cabaran ekonomi supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan benar-benar memerlukan, khususnya B40 dan M40.

Menurutnya, usul berkenaan akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri.

Di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95), setiap rakyat Malaysia yang layak boleh membeli RON95 pada kadar RM1.99 seliter, manakala RON97 diapungkan mengikut harga pasaran tanpa subsidi kerajaan.

Kerajaan menanggung subsidi lebih RM6 bilion sebulan bagi bahan bakar sejak krisis di Timur Tengah, lebih tinggi berbanding RM700 juta sebulan sebelumnya.

Sementara itu, penganalisis politik Azmi Hassan berkata saranan menarik balik subsidi untuk kelompok berpendapatan tinggi dilihat wajar susulan kenaikan harga minyak dunia.

Menurutnya, harga minyak kini mencecah hampir dua kali ganda berbanding USD60 setong ketika program bantuan seperti BUDI95 mula diperkenalkan.

“Bagi golongan T20, langkah ini tidak akan memberi perbezaan besar atau menjejaskan mereka secara signifikan. Malah, saya percaya mereka tidak akan ‘menghukum’ kerajaan dalam hal ini.

“Subsidi petrol perlu dikekalkan kepada kumpulan M40 dan juga B40 yang dikatakan memberi perbezaan banyak kepada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.