
Beliau berpendapat kriteria pendapatan kasar semata-mata tidak lagi relevan untuk menggambarkan kemampuan kewangan sebenar sesebuah isi rumah, terutamanya bagi mereka yang menetap di pusat bandar metropolitan.
“Pendapatan isi rumah RM13,000 yang tinggal di bandar seperti Kuala Lumpur dengan lima anak masih bersekolah dan universiti boleh jatuh ke M40, bahkan B40,” katanya di Facebook.
Dalam konteks Majlis Amanah Mara yang dipengerusikannya, Asyraf berkata pihaknya sentiasa mengambil kira semua faktor itu sebelum meluluskan sebarang pembiayaan pendidikan.
Ahad lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan memuktamadkan cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi, tertakluk kajian.
Ketika ini, RON95 disubsidi pada harga RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia mempunyai lesen memandu sah, dihadkan 200 liter sebulan.
Di Sabah dan Sarawak, diesel bersubsidi dijual pada harga RM2.15 seliter berbanding RM5.17 seliter di Semenanjung Malaysia.
Kerajaan menanggung subsidi lebih RM6 bilion sebulan bagi bahan bakar sejak krisis di Timur Tengah, lebih tinggi berbanding RM700 juta sebulan sebelumnya.
Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah Sabu pula berkata kelayakan subsidi petrol perlu lebih persis dengan mengambil kira ‘pendapatan boleh guna’ dan profil tanggungan, berbanding hanya bersandarkan gaji kasar.
Menurutnya, rasionalisasi subsidi dimulakan secara lebih bersasar kepada kelompok pendapatan tertinggi (T1) bagi melindungi kelas menengah yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
“Reformasi subsidi tidak boleh dilaksanakan secara pukul rata. Dasar yang adil ialah dasar yang memahami jurang kos sara hidup dan realiti sebenar rakyat yang bekerja keras,” katanya.
Tambahnya, pengangkutan awam diperkukuh menerusi inisiatif seperti Transit Responsif Atas Permintaan (DRT) di kawasan berkepadatan tinggi sebagai alternatif mampu milik sebelum subsidi ditarik balik.
Aiman Athirah mengulas cadangan pakar ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid agar kerajaan memulakan langkah rasionalisasi subsidi dengan menyasarkan kelompok 1% pendapatan tertinggi (T1) bagi memastikan keharmonian dan keseimbangan jangka pendek.