PRK Slim: Pengundi berang dilarang masuk mengundi kerana berseluar pendek

Seorang pengundi PRK Slim hari ini yang datang semula ke pusat mengundi di SK Aminuddin Baki selepas pulang dan menukar seluar panjang.

SLIM: Proses pembuangan undi bagi pilihan raya kecil (PRK) Slim pagi ini kecoh seketika susulan salah faham berhubung pakaian.

Kejadian berlaku di pusat mengundi di SK Aminuddin Baki apabila beberapa pengundi tidak dibenarkan masuk membuang undi kerana memakai seluar pendek.

Beberapa individu juga dilihat mengoyak kad maklumat pengundi “Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan” yang diedarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berang dengan larangan itu.

“Sebelum ini kami sudah 9 kali mengundi, tidak pernah dihalang masuk untuk mengundi. Kali ini tidak boleh masuk kerana pakai seluar pendek. Sebelum ini kami pakai seluar pendek juga, boleh masuk.

“Kalau macam ini, saya tidak mahu mengundi,” kata Young, seorang warga emas ketika meninggalkan kawasan pusat mengundi tersebut.

Sementara itu seorang lagi pengundi ketika ditemui turut meluahkan perasaan kecewanya apabila turut dihalang mengundi atas alasan sama, iaitu memakai seluar pendek.

Young datang kembali ke pusat mengundi selepas dipujuk ejen parti bertanding.

“Saya mahu pergi kerja, datang awal nak mengundi, tidak boleh masuk pula,” kata individu itu yang enggan dikenali. Beliau beratur sejak 7 pagi.

Sementara itu seorang wakil ejen parti ketika ditemui turut meluahkan rasa tidak puas hati susulan larangan yang dibuat oleh pegawai bertugas yang membuat kawalan di pintu masuk pusat mengundi.

Beliau mendakwa hampir 10 pengundi balik tanpa mengundi kerana kecewa.

“10 orang sudah balik, mereka marah sebab tidak boleh masuk mengundi. Sebelum ini boleh masuk, hari ini tidak boleh, kesian sama pengundi,” kata individu yang mahu dikenali sebagai Wee.

Sementara itu beberapa ejen parti bertanding cuba mencari pengundi terbabit di rumah mereka dan memujuk supaya datang semula mengundi.

Selepas dipujuk, beberapa individu yang pada mulanya dilarang memasuki pusat pengundi datang kembali dan dibenarkan mengundi.

Pengundi PRK Slim yang berang dan meninggalkan pusat mengundi selepas tidak dibenar masuk kerana berseluar pendek.

Terdapat juga yang pulang dan menukar seluar panjang bagi membolehkan mereka mengundi.

Seorang pegawai SPR ketika ditemui memaklumkan telah berlaku sedikit salah faham berhubung perkara itu dan pihaknya telah membetulkannya.

“Berlaku sedikit salah faham, kita sudah betulkan dan pengundi tersebut (memakai seluar pendek) dibenar masuk,” katanya.

Seramai 23,094 pengundi di Slim akan membuat pilihan siapakah yang bakal mewakili suara mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRK hari ini.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz, calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Sekaran Subramaniam.