Anwar jumpa Shafie pagi tadi bincang soal kerusi

Anwar jumpa Shafie pagi tadi bincang soal kerusi

Walaupun peratusan PKR bertanding pada PRN Sabah sangat kecil namun akan mempertahankan kawasan dimenangi pada pilihan raya umum lalu

Presiden PKR Anwar Ibrahim (kiri) mengadakan pertemuan dengan ketua menteri yang juga Presiden Warisan Shafie Apdal bagi membincangkan pengagihan kerusi di Kota Kinabalu, pagi tadi. (Gambar Penerangan PKR)
KOTA KINABALU:
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengagihan kerusi antara parti itu dengan Warisan, Upko dan komponen Pakatan Harapan (PH) kini di peringkat akhir dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Katanya, pimpinan tertinggi PKR termasuk presiden, Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan ketua menteri yang juga Presiden Warisan, Shafie Apdal pagi tadi, bagi memperhalusi soal pengagihan kerusi antara mereka.

“Perjumpaan tadi (dengan Shafie) turut disertai Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew dan saya sendiri, tujuannya bagi memperhalusi ke arah memuktamadkan semua perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita ada seminggu lagi untuk muktamadkan, progresnya banyak cuma kita ada proses untuk memperhalusi lagi kerana kita kena mengambil kira kawasan yang ada penglibatan Upko, DAP atau Amanah, itu lumrah dalam mana-mana proses pengagihan kerusi yang sering kami hadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri jelajah penerangan PKR Sabah yang turut dihadiri Anwar dan Christina hari ini.

Saifuddin berkata, walaupun peratusan PKR bertanding pada PRN nanti sangat kecil namun secara prinsipnya mereka mempertahankan kawasan yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

“Saya tidak mahu masuk campur soal mana kerusi Upko atau yang lain akan bertanding tetapi jika ada pertindihan, baru kita akan bincang tetapi jika kerusi itu pernah ditandingi PKR dan dimenangi oleh kami, kerusi itu akan menjadi milik PKR.

“Selain itu, bagi kerusi yang dirasakan PKR mempunyai kekuatan dan munasabah untuk ditandingi, saya juga telah sampaikan kepada ketua menteri tadi.

“Bagi kategori ke-3 pula, memandangkan pertambahan kerusi berlaku daripada 60 kepada 73, jadi kita akan lihat potensi dan peluang PKR di kerusi baru ini.

“Kalau dulu kita bertanding 8 daripada 60 (kerusi) dan kini bertambah 13, ada munasabah untuk peluang PKR dibuka kerana sudah tentu kita melihat dari segi keanggotaan PKR yang ke-2 terbanyak di Malaysia selepas Selangor iaitu 173,907 anggota,” katanya.

Pada PRU lalu, PKR hanya memenangi 2 daripada 8 kerusi yang ditandingi iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api dan Inanam.

Bagaimanapun, PKR kini hanya mempunyai 1 kerusi DUN selepas wakil rakyat mereka di Inanam, Kenny Chua dipecat daripada parti itu kerana menyokong Musa Aman sebagai ketua menteri pada Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.