17 individu saman kilang cemar Sungai Gong

17 individu saman kilang cemar Sungai Gong

Saman itu dibuat selepas mengambil kira masalah dialami plantif antaranya suri rumah, peniaga dan ketua keluarga yang terjejas ekoran pencemaran sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Seramai 17 individu memfailkan saman terhadap sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera yang disyaki terbabit kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang, Khamis lalu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seramai 17 individu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi hari ini terhadap sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera yang disyaki terbabit kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang, Khamis lalu.

Tuntutan saman itu difailkan peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili 17 individu, selaku plaintif, jam 1.52 tengah hari menerusi sistem dalam talian “e-filing” mahkamah.

Bercakap kepada pemberita di lobi mahkamah selepas itu, beliau berkata menerusi saman berkenaan, semua plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi spesifik, ganti rugi teladan, kos dan perkara lain yang dianggap wajar serta adil oleh pihak mahkamah.

Katanya, tuntutan saman itu dibuat selepas mengambil kira masalah dialami plantif antaranya suri rumah, peniaga dan ketua keluarga yang terjejas ekoran pencemaran sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha memanggil agensi terlibat antaranya Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, kerajaan negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan sebagai saksi plaintif bagi mengesahkan syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd bertanggungjawab atas insiden itu.

Turut hadir, plaintif pertama tuntutan saman itu iaitu Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.