
Hakim Roslan Mat Nor menolak permohonan tersebut selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak hari ini, tanpa perintah mengenai kos.
Semantan memohon penzahiran beberapa dokumen termasuk lembaran tinjauan pendapatan, dokumen ukur dan hasil tanah, pelan pengambilan tanah serta dokumen berkaitan zon guna tanah antara tahun 1956 hingga 1960.
Peguam Janet Chai, yang mewakili Semantan, berkata dokumen berkenaan berada dalam milikan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Arkib Negara serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Roslan berkata dokumen yang dipohon itu tidak berada dalam milikan, jagaan atau kawalan kerajaan.
“Mahkamah mendapati walaupun terdapat usaha oleh plaintif untuk mendapatkan dokumen tersebut seperti yang dinyatakan dalam afidavit, rekod berkenaan tidak dapat ditemukan,” katanya dalam alasan penghakiman ringkas, lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata, penzahiran dokumen di bawah Aturan 24 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 hanya terpakai bagi dokumen yang berada dalam milikan atau kawalan sesuatu pihak dan tidak boleh digunakan untuk mendapatkan dokumen yang tidak wujud atau tidak berada dalam jagaan pihak berkenaan.
Permohonan Semantan tidak spesifik
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Azza Azmi berhujah permohonan plaintif gagal memenuhi keperluan asas undang-undang selain tidak spesifik.
Katanya, bagi membolehkan penzahiran dokumen dibenarkan, plaintif perlu membuktikan kewujudan dokumen, kerelevanan kepada isu pertikaian, penguasaan oleh pihak yang dimohon serta keperluan dokumen tersebut.
“Plaintif hanya mengenal pasti empat agensi yang ‘mungkin’ mempunyai dokumen tanpa memperincikan jenis dokumen atau pihak sebenar yang menyimpannya.
“Hasil semakan mendapati dokumen tersebut tidak berada dalam simpanan agensi berkenaan kecuali satu dokumen yang telah dikemukakan melalui afidavit jawapan,” katanya.
Beliau menjelaskan terdapat kekeliruan berhubung bidang kuasa agensi terlibat, khususnya Pejabat Tanah dan Galian Selangor yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri, bukan Persekutuan.
Roslan menetapkan 10 April untuk pengurusan kes.
Pertikaian undang-undang Semantan bermula pada 2003 apabila syarikat itu menyaman kerajaan, mendakwa tanah seluas 106 hektar miliknya di bandar raya ini, dikenali sebagai Duta Enclave, telah diambil secara tidak sah sejak 1956.
Tanah yang menjadi pertikaian itu, terletak di kawasan utama Jalan Duta, kini menempatkan beberapa bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Pada 24 Jun 2025, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan berhak menerima pampasan yang munasabah, yang akan dinilai berdasarkan nilai tanah pada 1956 ketika kerajaan mengambil milikan, serta mengarahkan penilaian keuntungan tertunggak.
Pada 13 Nov tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan untuk mendapatkan kebenaran merayu, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan membuka laluan kepada prosiding penilaian yang kini berlangsung di Mahkamah Tinggi.