Anggap rogol jenayah paling berat terhadap maruah manusia, kata hakim

Anggap rogol jenayah paling berat terhadap maruah manusia, kata hakim

Mahkamah Tinggi Muar mengarahkan seorang lelaki dipenjara 24 tahun kerana merogol adik iparnya berusia 13 tahun hingga melahirkan anak.

domestic abuse dera
Pesuruhjaya Kehakiman S Kalyana Kumar berkata hukuman jenayah rogol harus mencerminkan kebencian orang ramai terhadap kesalahan sedemikian dan berfungsi untuk melindungi kanak-kanak bawah umur.
PETALING JAYA:
Seorang hakim menegaskan bahawa kes rogol adalah satu kesalahan serius terutamanya apabila mangsa ialah kanak-kanak dan ia tidak wajar diberi sebarang kelonggaran, walaupun pesalah mengaku bersalah.

Pesuruhjaya Kehakiman, S Kalyana Kumar, berkata rogol memberi kesan mendalam sehingga menggugat asas kehidupan mangsa dan kepentingan awam menuntut supaya kesalahan itu dianggap antara jenayah paling berat terhadap maruah manusia.

Beliau menambah hukuman perlu mencerminkan kebencian masyarakat terhadap kesalahan tersebut serta melindungi kanak-kanak bawah umur.

“Mahkamah ini telah mengambil kira bilangan kesalahan seksual yang semakin berleluasa terhadap kanak-kanak kecil oleh lelaki tidak berperikemanusiaan, yang hampir setiap hari dilaporkan di akhbar. Ini tidak boleh diabaikan.

“Masyarakat sebagai pelindung utama nilai kesopanan mengharapkan mahkamah mengambil pendirian tegas dan tidak menjatuhkan hukuman yang terlalu ringan bagi jenayah kejam seperti ini,” katanya ketika menyampaikan penghakimannya pada 25 April di Mahkamah Tinggi Muar.

Kalyana berkata demikian ketika membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mempertingkatkan hukuman terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik iparnya yang berusia 13 tahun di dua kawasan perumahan di Kluang pada Mac dan Ogos 2015.

Mangsa kemudian melahirkan anak, dengan ujian DNA mengesahkan lelaki itu sebagai bapa.

“Tindakan responden telah merosakkan masa depan kanak-kanak ini,” kata Kalyana.

Mahkamah menambah hukuman kepada 12 tahun penjara bagi setiap kesalahan dan dijalankan secara berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan 24 tahun.

Hukuman enam sebatan, kaunseling wajib semasa tahanan dan dua tahun pengawasan polis selepas dibebaskan, dikekalkan.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara bagi setiap kesalahan secara serentak – yang disifatkan Kalyana sebagai tidak mencukupi.

Beliau berkata hakim Mahkamah Sesyen gagal mengambil kira sepenuhnya kesan rogol terhadap mangsa dan hukuman perlu berfungsi sebagai pengajaran kepada pesalah serta orang lain.

Walaupun mengakui mahkamah bawah telah mempertimbangkan kepentingan awam, beliau berkata ia terkhilaf apabila hanya menjatuhkan hukuman lapan tahun.

“Rogol, terutamanya melibatkan kanak-kanak, adalah kesalahan yang sangat serius dan hukuman penjara yang berat diperlukan,” katanya sambil menekankan trauma fizikal, emosi dan psikologi yang dialami mangsa.

Kalyana juga berkata tambahan hukuman itu tidak ‘terlalu berat’ kerana pesalah berumur 38 tahun ketika dijatuhkan hukuman.

Beliau berkata hukuman patut dijalankan secara berturut-turut apabila terdapat kesalahan berasingan pada tarikh dan lokasi berbeza, walaupun melibatkan mangsa yang sama.

Kalyana turut menyatakan tiada keadaan yang meringankan selain pengakuan bersalah dan status lelaki itu sebagai pesalah kali pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.