PRN Sabah: Ramai calon mudaratkan demokrasi, kata pemimpin Umno

Khaled Nordin (tengah) merasmikan Badan Gabungan NGO Wanita Pasir Gudang di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU: Sejumlah besar calon dan parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini dilihat memudaratkan demokrasi berbanding menyuburkan kebebasan berpolitik, kata Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, akan ada pihak yang berpendapat ramai calon bertanding memperlihatkan demokrasi sangat subur di Sabah, tetapi tanggapan dan ukuran itu sebenarnya tidak tepat.

“Apa yang kita lihat di Sabah, ramai yang bertanding dalam PRN tanpa agenda jelas, tanpa strategi kemas dan dilakukan untuk kepentingan jangka pendek tokoh ataupun agenda tertentu.

“Sudah tentu itu boleh dianggap memudaratkan demokrasi, bukan menyuburkan demokrasi, itu pada pandangan saya apa kita sedang lalui di Sabah pada hari ini,” katanya selepas merasmikan Badan Gabungan NGO Wanita Pasir Gudang di sini, hari ini.

Mengenai tindakan parti yang sudah menamakan calon ketua menterinya, Khaled yang juga pengerusi Yayasan Pasir Gudang berkata, ia hanyalah taktik untuk mendapatkan undi.

“Itu usaha hendak memastikan calon parti mereka mendapat sokongan kuat, itu hanya satu cara.

“Sama ada itu menjadi kenyataan atau tidak, seperti disebutkan (Pengerusi Barisan Nasional) Ahmad Zahid Hamidi, bergantung pada keputusan PRN nanti.

“Itu adalah lebih kepada taktik hendak dapatkan undi, belum tentu lagi ia jadi kenyataan.”