Usno mahu perjuangkan TPM dari Sabah, Sarawak jika menang

Usno mahu perjuangkan TPM dari Sabah, Sarawak jika menang

Jawatan TPM antara inti pati manifesto Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu yang dilancarkan hari ini.

KOTA KINABALU:
Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) akan memperjuangkan jawatan seorang timbalan perdana menteri dari Sabah atau Sarawak sekiranya diberi mandat menerajui tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Hal itu terkandung dalam inti pati manifesto parti berkenaan yang dilancarkan ketua umumnya, Pandikar Amin Mulia, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Pandikar Amin berkata manifesto Usno pada pilihan raya kali ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Rundingan Baharu dan Tawaran Baharu, masing-masing menggariskan 5 serta 8 unsur.

Beliau berkata rundingan dan tawaran baharu itu dibuat selepas mempertimbang perubahan suasana, pemikiran, dan keupayaan masyarakat Sabah serta bentuk perhubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan di alaf baharu.

Katanya, manifesto Usno ke arah mengangkat martabat dan mensejahterakan rakyat Sabah itu juga antara lain akan memastikan seorang menteri kanan dari Sabah dilantik mengisi Kabinet persekutuan merangkumi Kementerian Kewangan, Pembangunan Luar Bandar, Pendidikan, serta Pertahanan.

Usno juga mahu memastikan semua ketua jabatan serta agensi kerajaan persekutuan di Sabah disandang orang Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Awam negeri akan menyelaras pelantikan itu.

Turut digariskan ialah memperkasa keselamatan rakyat dan negeri yang antara lain memastikan pemberian dokumen pengenalan kerakyatan diurus serta diluluskan kerajaan negeri, katanya.

Pembangunan prasarana dan keperluan asas rakyat akan terus diperjuang; mengkaji semula hasil dan royalti petroleum; selain memastikan Sabah dibenar meminjam dana serta menerbitkan bon di luar negara dengan jaminan kerajaan persekutuan.

Pandikar Amin juga berkata antara tawaran baharu ialah memastikan kerajaan bersih tanpa rasuah dengan semua urusan kerajaan negeri berasaskan merit dan keperluan rakyat.

Manifesto juga akan memastikan semua cukai di negeri itu dikutip, dikawal dan diagih oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Sabah sebelum dikongsikan kepada Putrajaya.

Usno juga akan memelihara tanah adat dan hak Bumiputera Sabah selain memastikan budaya, bahasa, dan kepercayaan etnik diperkasa, antara lain menerusi pembinaan sekolah etnik menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat tersebut berkata tuntutan Usno kepada Putrajaya yang terkandung dalam manifesto berkenaan adalah berasaskan perlembagaan, bukan Perkara 20 mahupun Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Aspirasi saya, kalau Usno ditakdirkan memerintah atau (membentuk) kerajaan campuran maka kita akan memberitahu rakyat perkara sebenar seperti tuntutan Usno 2020.

“Tuntutan kita lebih hebat. Kita mahu menuntut kita mesti dianggap dan dilihat sebagai sama taraf dengan orang-orang di Kuala Lumpur,” kata Pandikar Amin yang bertanding di DUN Pintasan.

Seramai 47 calon Usno akan bertanding merebut kerusi DUN pada PRN itu.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.