Teliti kaedah bolehkan pesakit Covid-19 mengundi, kata Azalina

Teliti kaedah bolehkan pesakit Covid-19 mengundi, kata Azalina

Setiap rakyat yang memenuhi syarat dan berdaftar sebagai pengundi berhak mengundi walaupun individu itu tidak mampu berjalan.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said menurunkan tanda tangan pada lukisan mural sempena pelancaran mural kemerdekaan di Jalan Desaru Utama, Pengerang hari ini.
PENGERANG:
Satu kaedah sesuai perlu diteliti bagi membolehkan rakyat negara ini yang dijangkiti Covid-19 diberi hak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata, pada pandangan peribadinya setiap rakyat yang memenuhi syarat dan berdaftar sebagai pengundi berhak mengundi walaupun individu itu tidak mampu berjalan.

“Saya hendak ulas pun ini isu Kementerian Kesihatan, tetapi bagi saya setiap orang berhak mengundi. Orang yang tidak boleh berjalan pun sepatutnya kita perlu bawa pergi mengundi.

“Jadi, perlulah lihat 1 cara untuk bantu pengundi (yang dijangkiti Covid-19),” katanya ketika ditemui selepas melancarkan mural kemerdekaan dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Jalan Desaru Utama, Bandar Penawar hari ini.

Azalina yang juga ahli Parlimen Pengerang berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang berpendapat, pesakit Covid-19 perlu diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bilangan kes di Sabah dilihat semakin meningkat setiap hari terutama di kawasan Tawau dan Lahad Datu, sedikit-sebanyak menimbulkan kebimbangan ramai terutama menjelang hari pembuangan undi pada 26 September ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.