
Beliau juga mengingatkan pemberita bahawa Mohamaddin, yang bertanding di DUN Segama, sudah memohon maaf.
“Saya akan panggila dia, apa sebab dia nyatakan…saya difahamkan dia minta maaf,” katanya semasa berkempen di Sandakan hari ini.
Ditanya adakah kenyataan Mohamaddin akan menjejaskan kempen Warisan Plus, Shafie menjawab: “Kita teruskan perjuangan.”
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah
Terdahulu hari ini, Mohamaddin menafikan beliau memperkecilkan pasukan keselamatan yang mempertahankan negara semasa pencerobohan Lahad Datu dengan berkata, kenyataannya dipesongkan dan diambil di luar konteks.
Katanya, beliau sama sekali tidak memperkecilkan atau menghina pasukan keselamatan yang mengorbankan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara, tetapi hanya mahu menunjukkan kegagalan kerajaan BN menambah baik aset pertahanan bagi menghalang insiden sebegitu berlaku lagi.
Menerusi video kira-kira 2 minit itu, Mohamaddin yang juga bekas menteri persekutuan mendakwa pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, dan pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”.
“Bila pilihan raya (PRU 2013) berakhir, tiada lagi perang,” katanya, dengan menambah semasa bertugas sebagai Adun sebelum ini, beliau tidak pernah menemui lanun bersenjata atau warga Filipina yang mahu mengisytiharkan perang atau mengambil semula Sabah.
Beliau berkata, ramai orang terkorban dalam pertempuran Lahad Datu itu kerana “sandiwara”.
Kenyataan beliau mengundang kritikan banyak pihak dengan pemimpin Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan menggesa Presiden Warisan Shafie Apdal menuntut Mohamaddin memohon maaf berhubung kenyataan itu.
Presiden Parti Cinta Sabah Anifah Aman juga menyelar kenyataan bekas menteri itu dengan berkata, ia merupakan penghinaan kepada pasukan keselamatan dan orang yang mereka sayangi.
Pada 11 Februari 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 pegawai keselamatan Malaysia dan 6 orang awam.