
Beliau berkata, individu yang positif adalah kategori ke-4 dalam senarai pengundi dan tindakan itu diambil kerana bimbang penularan yang mungkin berlaku di luar kawasan kuarantin.
“Mereka yang positif Covid-19 tidak dibenarkan keluar mengundi. Kita tidak benarkan kerana takut mereka menyebarkan penyakit di luar.
“Kita sudah pertimbangkan perkara ini sewaktu mesyuarat khas bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan jabatan lain, setelah pertimbangan dibuat, mereka masih tidak dibenarkan keluar mengundi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Bagaimanapun, Ismail berkata pengundi bagi 3 kategori lain masih dibenarkan membuang undi pada hari pengundian. Tiga kategori itu adalah pengundi biasa, pengundi yang mempunyai gejala dan pengundi yang dikuarantin di pusat kuarantin.
“Bagi pengundi kategori pertama iaitu pengundi biasa, mereka perlu hadir pada waktu ditetapkan dan perlu melaksanakan SOP ditetapkan, iaitu beratur dengan jarak yang dibenarkan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berikan masa untuk mereka mengundi bagi setiap individu.
“Bagaimanapun, masa itu bukanlah 1 syarat wajib maknanya kalau tidak dapat hadir pada masa ditetapkan, mereka masih boleh keluar mengundi pada masa lain. Cuma kita galakkan ikut waktu yang ditetapkan untuk elak berlaku kesesakan,” katanya.
Katanya, kategori ke-2 pula individu yang bergejala, mereka akan dibawa ke tempat pengundian khas yang disediakan khas oleh SPR. Manakala bagi kategori ke-3 mereka yang dikuarantin di pusat kuarantin.
“Individu kategori ke-3 masih boleh mengundi tetapi mesti buat permohonan kepada pejabat kesihatan daerah, supaya dapat ditentukan waktu untuk mereka dibawa keluar.
“Untuk mereka mengundi, ia akan diuruskan oleh KKM dan SPR. Mereka tidak boleh keluar mengikut suka hati, mereka akan dikawal dan waktu juga ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ismail memaklumkan beliau menyerahkan kepada polis berhubung tindakan individu yang membuat gurauan dengan memakai gelang tangan palsu berwarna merah jambu.
“Ia bukanlah perkara boleh dibuat main. Ada beberapa kesalahan, kalau dia betul-betul dikuarantin dan keluar pakai gelang tangan ini, maka dia salah dan kalau tidak dikuarantin, dia menipu menggunakan bahan dan peralatan KKM untuk tindakan tertentu dan tujuannya untuk menipu, maka salah juga.
“Terserah pada polis untuk ambil tindakan dan saya tidak tahu apakah tindakan polis terhadap perkara ini. Jangan hendak jadikan ini bahan mainan dan ketawa, ini melibatkan isu nyawa. Jangan anggap perkara ini boleh dibuat lawak kerana kesannya amat besar,” katanya.