
Zahid secara peribadi tidak dapat menerima permohonan maaf Mohamaddin, kerana beliau sendiri berada di sana ketika peristiwa itu, semasa beliau menjadi menteri pertahanan.
“Ketika itu penceroboh memang datang. Saya melihat mayat bergelimpangan. Adakah itu ayam, anjing, atau manusia?” katanya dalam wawancara di Facebook Barisan Nasional.
Umno juga tidak menerima permohonan maaf itu, katanya, kerana memikirkan keluarga mangsa dan pasukan keselamatan terlibat.
“Pihak keluarga tentera dan polis serta pasukan keselamatan dan agensi lain tidak dapat terima kemaafan itu dengan begitu sahaja,” katanya.
Kenyataan Mohamaddin dalam satu video tular, mendakwa pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, dan pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”, mengundang kecaman pelbagai pihak.
Pada 11 Feb 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan, dan 6 orang awam.
Zahid mengingatkan Mohamaddin supaya berpolitik secara profesional dan tidak mempolitikkan soal keselamatan.
“Jangan hina polis dan tentera,” tegasnya.
Mohamaddin nafi memperkecilkan pasukan keselamatan mendakwa kenyataannya dipesongkan dan diambil di luar konteks. Presiden Warisan, Shafie Apdal, turut memohon maaf kepada anggota keselamatan atas kenyataan pemimpinnya itu, mengatakan ia secara spontan dan tidak berniat untuk menghina.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah