
Katanya, sebanyak RM39.75 juta diperuntukkan bagi meringankan beban warga Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terkesan akibat PKPB.
“Untuk sewa rumah bagi tempoh 3 bulan bermula Oktober hingga Disember, keseluruhan peruntukan ini berjumlah RM14.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penyewa Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN) dan perumahan awam (PA) DBKL di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media pengumuman Inisiatif Wilayah Cakna 3.0 untuk warga Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat PKPB hari ini.
Dalam pada itu, Annuar berkata, bagi 5,830 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Kuala Lumpur pula, mereka dikecualikan membayar sewa dengan pengecualian hasil kepada DBKL berjumlah RM2.5 juta.
“Penjaja dan peniaga kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut diberi pengecualian bayaran bagi pembaharuan lesen perniagaan bulan November yang melibatkan 1,339 akaun dengan kos sebanyak RM330,000,” katanya.
Beliau berkata, pengecualian caj sewaan premis milik Perbadanan Putrajaya (PPj) juga memberi manfaat kepada 302 penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya bermula bulan ini hingga Disember melibatkan pengecualian hasil kepada PPj berjumlah RM1.87 juta.
Katanya, penjaja dan peniaga kecil Putrajaya turut diberi pengecualian bayaran pembaharuan lesen perniagaan yang dibuat dalam tempoh Oktober hingga Disember 2020 melibatkan peruntukan berjumlah RM50,000.
Katanya, PPj juga akan menyediakan bantuan “food pack” berbentuk baucar makanan kepada asnaf dan golongan miskin (B40) bernilai RM100 untuk setiap isi rumah.
“Pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur akan menerima baucar bantuan buku latihan sekolah bernilai RM100 daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang boleh digunakan di koperasi sekolah masing-masing.
“Manakala 1,000 pelajar miskin di Putrajaya juga menerima baucar ‘Back to School’ bernilai RM100 daripada PPj sebagai persediaan untuk perbelanjaan barangan persekolahan tahun depan. Seramai 350 orang pelajar tadika kelolaan PPj turut dikecualikan daripada bayaran yuran Oktober,” katanya.
Annuar berkata, sumbangan sebanyak RM3,000 secara “one-off” turut diberikan kepada 11 Majlis Perwakilan Penduduk di Wilayah (MPPWP) Persekutuan Kuala Lumpur dan 6 sub zon MPPWP Putrajaya.
Beliau berkata, RM2,000 secara “one-off” diberikan kepada 570 persatuan penduduk di Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Ini bertujuan untuk pelaksanaan program pencegahan Covid-19 dalam kalangan komuniti bagi memutuskan rantaian penularan wabak itu. Sejumlah RM1.4 juta diperuntukkan bagi program bantuan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Katanya, ini termasuk bantuan kepada nasjid dan surau Jumaat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Program Dapur It’am, Program Bantuan Dakwah dan Program Bantuan Baitul Rizq Masjid Wilayah.
“Pihak MAIWP turut memberikan bantuan kecemasan khas Covid-19 dan bantuan makanan serta sewa kediaman kepada mahasiswa awam di IPTA Wilayah Persekutaun Kuala Lumpur berjumlah RM12.7 juta,” katanya.