
Antara lebih 113,000 individu yang menerima vaksin itu, 432 kesan sampingan dilaporkan termasuk tiga kes anafilaksis yang merupakan permulaan reaksi alergi yang teruk.
“Anafilaksis adalah kesan sampingan yang diketahui namun jarang berlaku terhadap vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech,” menurut Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, Kenneth Mak dalam kenyataan.
Seperti vaksin lain, Mak berkata akan terdapat sebilangan kecil individu yang mudah mengalami reaksi alergi yang teruk semasa vaksinasi.
“Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan pra-vaksinasi dan pemerhatian pasca-vaksinasi bagi memastikan program vaksinasi kami dapat dilaksanakan dengan selamat.
“Semua tiga kes anafilaksis telah menerima rawatan segera dan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Menurut kenyataan itu, individu terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an, mengalami pelbagai gejala seperti ruam, sesak nafas, bibir bengkak, sakit tekak dan pening.
Katanya, ketiga-tiga individu mempunyai sejarah alergi termasuk rinitis alergi dan alergi makanan seperti kerang-kerangan namun tidak mempunyai sejarah anafilaksis yang akan mengecualikan mereka daripada menerima vaksin itu.
Sementara itu, kebanyakan yang lain melaporkan gejala biasa seperti bengkak serta kesakitan di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, sakit badan, pening, rasa mual dan reaksi alergi iaitu gatal, ruam bengkak mata atau bibir.
Meskipun menjangkakan terdapat keperluan seperti ini, MOH berkata pihaknya akan memperkenalkan satu program bantuan kewangan kecederaan vaksin bagi vaksinasi Covid-19 (VIFAP) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas sekiranya berlaku kesan sampingan yang dinilai mempunyai kaitan dengan vaksin Covid-19 yang diberikan di Singapura.