
Matt Hancock menggesa orang awam di Britain mengambil vaksin itu walaupun negara seperti Perancis, Sepanyol dan Jerman menggantung sementara penggunaannya.
Agensi Perubatan Eropah (EMA), yang sebelum ini meluluskan suntikan itu, sedang membuat semakan terhadap vaksin berkenaan namun berkata buat sementara ini masih yakin dengan manfaat diberikannya.
“Tiada bukti bahawa vaksin berkenaan menyebabkan darah beku,” kata Hancock dalam artikel disiarkan The Sun, dengan menekankan vaksin berkenaan turut disokong EMA, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pengawal atur perubatan Britain.
“Lebih 11 juta dos vaksin AstraZeneca telah diberikan di seluruh UK,” katanya.
“Kadar kes dilaporkan (darah beku) melibatkan orang yang divaksin kurang daripada apa yang mungkin dijangka berlaku secara semulajadi dalam masyarakat.”
Britain memberikan hampir 25 juta orang dos pertama vaksin Covid-19, selepas memulakan program inokulasi besar-besaran pada Disember lalu.
AstraZeneca yang dibangunkan bersama saintis di Universiti Oxford adalah pusat untuk memastikan negara keluar daripada sekatan dan kembali kepada kehidupan normal
London sudah menempah 100 juta dos vaksin berkenaan pada kos yang rendah sementara ia diwar-warkan sebagai “gamechanger” yang berpotensi melawan virus berkenaan secara global.
Perancis dan Itali pula mengatakan mereka akan “memulakan dengan segera” pemberian vaksin berkenaan jika ulasan EMA membenarkannya.
Ketika Britain terus ke hadapan dengan program vaksinasinya, negara Eropah dituduh bermain politik untuk mengalihkan perhatian daripada pelancaran program suntikan yang perlahan.
AstraZeneca pada Jan lalu mengumumkan hanya boleh menghantar 1/3 daripada 120 juta dos yang pada awalnya dijanjikan kepada 27 negara anggota Kesatuan Eropah pada suku pertama, dan ia mencetuskan kritikan.
Ketika Eropah ingin mempercepat program imunisasi, Hancock menulis bahawa minggu ini UK akan mendapat “peningkatan bekalan” yang akan membantu mempercepat pelancarannya.
Setiap orang dewasa dijangka mendapat dos pertama vaksin pada akhir bulan Julai, tambahnya.