
Payung pantai tersadai di hotel-hotel yang lengang dengan boneka pakaian terbiar berhabuk di luar kedai-kedai cenderamata adalah antara pemandangan biasa buat masa ini.
“Kami mengambil peluang untuk menguji sistem ini”, kata wakil gabenor wilayah Phuket, Piyapong Choowong.
Tambahnya, lebih daripada 70% penduduk Phuket iaitu sekitar 650,000 akan diberi vaksin pada 1 Julai, apabila pelancong asing yang divaksin dibenar masuk tanpa kuarantin panjang, punca kebanyakan mereka enggan ke Phuket sebelum ini.
Phuket mempunyai lapangan terbang antarabangsa sendiri, jadi pelancong dapat berkeliaran di pulau ini dengan bebas tanpa menimbulkan risiko Covid-19 kepada seluruh penduduk Thailand.
Penduduk dan penjual berkata mereka sangat memerlukan perniagaan tersebut.
“Keadaan sangat teruk. Semua kedai ditutup. Orang ramai menderita,” kata Uga, seorang penjual air kelapa dan minuman, di pantai yang lengang.
Thailand kehilangan kira-kira AS$50 bilion hasil pelancongan tahun lalu – jatuh 82%. Phuket, di mana sekitar suku daripada kawasannya sering dibanjiri pelancong asing, paling teruk terjejas.
Prospek untuk dibuka semula, walau gelombang ketiga mencatat ratusan kes baru di Thailand setiap hari, masih memberi harapan agar mimpi ngeri ini akan berakhir. Apapun, pembangunan semula mungkin sedikit perlahan.
Kerajaan berharap sekurang-kurangnya 100,000 pelancong akan mengunjungi Phuket pada suku ketiga tahun ini.
Hanya 6.7 juta pelancong asing berkunjung ke Thailand pada tahun 2020, membelanjakan sekitar US$11 bilion. Berbanding hampir 40 juta pada tahun 2019, dengan perbelanjaan mencecah US$61 bilion.