
Sophia Chan dalam taklimat media berkata, langkah itu turut terpakai untuk rumah mandian dan pusat karaoke serta akan membenarkan tempat-tempat itu dibuka sehingga jam 2 pagi.
Semua kakitangan dan pelanggan perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin supaya tempat itu dapat beroperasi dan ia perlu beroperasi dengan separuh kapasiti, katanya.
“Kita semua berharap kehidupan dapat kembali normal tetapi kita perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan langkah-langkah baharu ini,” kata Chan.
Bekas jajahan Britain itu telah mencatatkan lebih 11,700 kes covid-19, jauh lebih rendah berbanding bandar maju lain.
Hong Kong telah melarang bukan pemastautin di bandar ini sejak Mac 2020, namun minggu ini mengumumkan gelembung perjalanan yang tertangguh dengan Singapura akan bermula pada 26 Mei, sebagai permulaan hubungan dua hala pertama dengan kota lain.
Pengumuman Chan dibuat ketika pihak berkuasa cuba memberi insentif kepada penduduknya untuk mendapatkan vaksin di mana hanya sekitar 11% daripada 7.5 juta penduduk kota tersebut telah menerima dos vaksin pertama mereka.
Pengambilan vaksin tersebut kurang mendapat sambutan sejak skim itu dimulakan Februari lalu kerana kurang yakin terhadap vaksin Sinovac China dan bimbang kesan sampingannya yang buruk.
Hong Kong mula memberi vaksin kepada penduduk dengan dos dari Sinovac pada Februari dan mula menawarkan vaksin yang dihasilkan oleh BioNTech Jerman pada Mac.
Statistik kerajaan menunjukkan, pengambilan suntikan BioNTech meningkat jauh lebih besar sejak dilancarkan dengan dua hingga tiga kali lebih ramai menempahnya setiap hari berbanding Sinovac.
Mengikut peraturan baharu, restoran di bandar itu akan dibenar untuk menambah jumlah pelanggan setiap meja menjadi enam daripada empat orang pada masa ini, dengan syarat kakitangan dan pelanggan juga telah menerima dos vaksin pertama mereka. Kini mereka akan dapat makan di kedai dari jam 10 malam hingga tengah malam.
Restoran turut menetapkan kawasan yang berbeza untuk pelanggan yang tidak diberi vaksin dan bagi mereka yang memilih untuk menulis maklumat diri di kertas daripada mendaftar dengan aplikasi pemerintah. Segmen ini hanya akan dibenarkan empat orang semeja.
Aplikasi penjejakan yang diperkenal kerajaan kurang mendapat sambutan kerana tiada rasa percaya.