
Menteri Kehakiman, Yoko Kamikawa berkata, satu laporan kematian Wishma Sandamali yang berusia 33 tahun pada Mac lalu menyimpulkan wanita itu mendapat rawatan tidak mencukupi atas kemerosotan kesihatannya.
Sandamali ditahan kerana tinggal melebihi tempoh menggunakan visanya, selepas meminta perlindungan polis, dilaporkan untuk melarikan diri daripada hubungan penuh penderaan.
Beliau dilaporkan berulang kali mengadu sakit perut dan mengalami simptom lain mulai Januari lalu dan ada pihak mendakwa beliau tidak diberikan rawatan perubatan mencukupi.
“Saya mengucapkan takziah kepada ibu dan keluarganya, serta memohon maaf atas kehilangan nyawa berharga ini di pusat tahanan,” kata Kamikawa.
Beliau berkata, laporan itu belum menentukan punca kematian Sandamali secara pasti, tetapi mendapati pusat tahanan di Nagoya, tengah Jepun “kekurangan sistem untuk menilai kesihatan tahanan dan menyediakan perkhidmatan perubatan”.
“Saya sudah mengarahkan ketua agensi perkhidmatan imigresen untuk mengendalikan dan mengawasi cawangan wilayah dengan baik.
“Kami akan melakukan pembaharuan dengan azam kejadian ini tidak berulang lagi.”
Stesen penyiaran negara, NHK berkata, empat pegawai di pusat tahana itu “ditegur” atas kematian berkenaan, tetapi tiada yang dipecat.
Pejuang hak asasi manusia sekian lama mengkritik keadaan di pusat tahanan Jepun, termasuk cara pengawal bertindak balas terhadap kecemasan perubatan.
Mei lalu, penggubal undang-undang kerajaan Jepun menolak langkah kontroversi untuk meminda peraturan berhubung cara menangani pencari suaka dan penghantaran pulang, selepas pembangkang memberi tekanan susulan kematian Sandamali.
Undang-undang yang dicadangkan itu termasuk perubahan untuk memudahkan penghantaran pulang pencari suaka, langkah yang dikritik hebat kumpulan hak asasi manusia yang berpendapat Jepun patut lebih berusaha menerima pelarian.