8 jemaah umrah Thailand positif varian Omicron

8 jemaah umrah Thailand positif varian Omicron

Semuanya adalah kes import dan pesakit sedang menjalani kuarantin, kata Penasihat Chularatchamontri-Thailand Preeda Chueaphudee.

Orang ramai menjalani ujian Covid-19 di Thailand. Keputusan ujian Covid-19 bagi jemaah Thailand yang pulang menunaikan umrah di Mekah baru-baru ini menunjukkan tujuh sampel positif varian Omicron. (Gambar AP)
BANGKOK:
Lapan jemaah Thailand disahkan positif varian Omicron selepas pulang daripada menunaikan umrah di Mekah, Arab Saudi.

Dua kumpulan jemaah yang tiba masing-masing di Bangkok dan Phuket ditempatkan di kemudahan kuarantin sejurus ketibaan.

Penasihat Chularatchamontri-Thailand Preeda Chueaphudee berkata, seramai 30 jemaah umrah Thailand tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 15 Dis.

Beliau berkata, semua jemaah menjalani kuarantin wajib di sebuah hospital di Bangkok.

“Keputusan ujian Covid-19 menunjukkan tujuh sampel positif varian Omicron,” katanya.

“Semuanya adalah kes import dan pesakit sedang menjalani kuarantin. Jadi, orang ramai tidak perlu panik.”

Sementara itu, pegawai kesihatan awam Phuket, Dr Kusak Kukiatkul berkata, seorang jemaah umrah Thailand yang tiba di Phuket disahkan positif varian Omicron selepas pulang dari Mekah pada 13 Dis.

Beliau berkata, lima daripada 137 jemaah yang tiba di Phuket disahkan positif Covid-19.

Katanya, pesakit yang mempunyai gejala ringan atau tidak bergejala dibenarkan pulang tetapi bawah pengawasan rapat.

Bagaimanapun, pada 17 Dis, beliau berkata, keputusan ujian penjujukan genom menunjukkan satu daripada lima pesakit berkenaan positif varian Omicron.

Sementara itu, ketua pejabat kesihatan daerah Pattani, Dr Anurak Sarapap mengesahkan lelaki itu kembali dari Mekah dan meneruskan perjalanan ke Pattani.

“Ia kes Omicron pertama di wilayah itu. Pesakit itu kini dirawat di Hospital Khok Pho di Pattani,” katanya.

Sementara itu, media melaporkan penduduk tempatan menyuarakan kebimbangan mengenai penduduk tempatan yang pulang dari Malaysia melalui sempadan darat.

Justeru, pihak berkuasa telah meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan.

Bangkok Post melaporkan kira-kira 57 rakyat Thailand yang pulang dari Malaysia sedang menjalani kuarantin.

“Tiada kes Omicron dikesan dalam kalangan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.