Kerajaan Kazakh berundur selepas protes ganas bahan api

Kerajaan Kazakh berundur selepas protes ganas bahan api

Lebih 200 penunjuk perasaan ditahan polis.

Penunjuk perasaan cuba menghalang sebuah bas polis ketika bantahan di tengah Almaty semalam. (Gambar AP)
ALMATY:
Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev menerima peletakan jawatan kerajaannya hari ini, kata pejabatnya selepas bantahan terhadap kenaikan harga bahan api di negara Asia Tengah yang kaya dengan minyak itu menyebabkan hampir 100 anggota polis cedera.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan bom untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan di dataran utama Almaty lewat malam semalam dan pertempuran berlarutan selama beberapa jam di kawasan berhampiran.

Protes itu merosakkan imej bekas republik Soviet itu sebagai negara dikawal ketat dan stabil dari segi politik, yang digunakannya untuk menarik pelaburan asing berjumlah ratusan bilion dolar dalam industri minyak dan keluli sejak tiga dekad selepas merdeka.

Bercakap kepada pemangku anggota Kabinet, Tokayev mengarahkan mereka dan gabenor wilayah untuk melaksanakan semula kawalan harga LPG dan memperluaskannya kepada petrol, diesel dan barangan pengguna lain yang “penting dari segi sosial”.

Beliau turut mengarahkan kerajaan menggubal undang-undang muflis peribadi dan mempertimbangkan pembekuan harga utiliti serta memberi subsidi untuk bayaran sewa keluarga miskin.

Katanya, situasi semakin pulih di bandar dan pekan yang berlaku protes, selepas darurat diisytiharkan, termasuk perintah berkurung dan sekatan pergerakan.

Bantahan itu bermula di wilayah barat pengeluar minyak, Mangistau Ahad lalu, disusuli penarikan balik harga siling LPG, bahan api popular kereta, sehari sebelumnya selepas harganya naik berganda.

Tokayev mengisytiharkan darurat di Almaty dan Mangistau dengan menyalahkan ejen provokasi dari dalam dan luar di sebalik keganasan itu.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri berkata, selain Almaty, bangunan kerajaan di bandar Shymkent dan Taraz turut menjadi sasaran yang menyaksikan 95 anggota polis cedera dalam pertempuran.

Polis menahan lebih 200 penunjuk perasaan.

Datuk Bandar Almaty, Bakytzhan Sagintayev dalam ucapannya kepada penduduk berkata, keadaan di bandar itu kini terkawal dan anggota keselamatan menahan “ejen provokasi dan ekstremis”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.