India buka semula perkhidmatan visa e-pelancong

India buka semula perkhidmatan visa e-pelancong

Warga asing bukan sahaja dibenarkan membuat permohonan baharu malah eVisa lima tahun yang masih sah juga boleh digunakan semula.

India mengambil langkah membuka perkhidmatan visa e-pelancong berikutan situasi Covid-19 dilihat bertambah baik dan sebagai mempertimbangkan keperluan melonggarkan lagi sekatan visa dan perjalanan. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Kerajaan India hari ini membuka semula perkhidmatan visa e- pelancong (eVisa) kepada pelawat dari lebih 150 negara dan wilayah termasuk ‘regular visa’, berkuat kuasa serta-merta.

Warga asing bukan sahaja dibenarkan membuat permohonan baharu malah eVisa lima tahun yang masih sah juga boleh digunakan semula.

Langkah itu dibuat selepas India menggantung visa pelancong sejak dua tahun lepas akibat pandemik Covid-19, menurut Xinhua memetik laporan All India Radio (AIR) pada Khamis.

Kerajaan mengambil langkah itu berikutan situasi Covid-19 dilihat bertambah baik dan sebagai mempertimbangkan keperluan melonggarkan lagi sekatan visa dan perjalanan.

Kementerian Dalam Negeri juga membenarkan visa pelancong bagi warga Amerika Syarikat dan Jepun untuk tempoh 10 tahun.

Sementara itu, warga Afghanistan pula akan terus menggunakan e-Emergency X-Miscellaneous Visa.

India juga bercadang menyambung semula perkhidmatan penerbangan komersial dan antarabangsa mulai 27 Mac.

Pihak berkuasa India telah mengendalikan penerbangan antarabangsa khas sejak Mei 2020 dan di bawah peraturan “gelembung udara” dua hala dengan beberapa negara bermula Julai 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.