
Dengan lebih 90% undi sudah dikira, Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr mendapat hampir 30 juta undi, lebih dua kali ganda berbanding pencabar terdekatnya, calon liberal, Leni Robredo.
Kemenangan besar yang tidak dapat disangkal itu merupakan perubahan nasib bagi puak Marcos.
Aktivis hak asasi manusia, pemimpin Katolik dan penganalisis politik memberi amaran Marcos Jr boleh memerintah dengan lebih tegas, jika beliau menang dengan majoriti besar.
Dalam ucapan lewat malam tadi dari ibu pejabat kempennya di Manila, Marcos mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan atas “pengorbanan dan kerja” mereka selama berbulan-bulan.
Tetapi, beliau tidak mengumumkan dirinya sudah menang, sebaliknya memberi amaran “kiraan belum selesai”.
“Mari tunggu sehingga ia sangat jelas, sehingga kiraan mencapai 100% baru kita boleh raikan.”
Di luar, penyokong menyalakan bunga api, mengibar bendera Filipina dan menaiki kereta sambil melaungkan kemenangan.
Cleve Arguelles, pensyarah sains politik di Universiti De La Salle, Manila, menyifatkan jelas “ini akan menjadi pilihan raya bersejarah” buat Filipina.