
Dalam kenyataan hari ini, syarikat tenaga nasional itu berkata ia tidak mengetahui dan tidak terlibat dalam sebarang pengaturan sedemikian.
“Fokus segera Petronas adalah untuk memastikan Malaysia mempunyai bekalan bahan api yang boleh diharapkan dan berterusan.
“Ini kekal sebagai keutamaan utama kami, disokong oleh rangkaian bekalan yang sedia ada dan penyelarasan rapat dengan kerajaan,” katanya.
ABS-CBN, sebuah organisasi media dan berita utama di Filipina, melaporkan pada Jumaat wilayah Davao del Norte di Mindanao merancang untuk mengimport 44 juta liter diesel daripada Petronas.
Sekatan di Selat Hormuz, laluan perkapalan utama yang membawa kira-kira 20% minyak dunia, telah menjejaskan bekalan tenaga di seluruh dunia.
Filipina mengisytiharkan darurat tenaga nasional pada Selasa, dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr menyatakan langkah segera diperlukan untuk memastikan kestabilan bekalan tenaga, kesinambungan aktiviti ekonomi dan penyampaian perkhidmatan penting.