
Pelitup muka tidak lagi diperlukan di luar bangunan kerana “wabak semakin terkawal”, kata Presiden Joko Widodo dalam kenyataan yang dikongsikan dalam talian.
Bagaimanapun, ia tetap perlu digunakan di dalam bangunan dan pengangkutan awam, katanya, selain beliau mengesyorkan golongan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan atau batuk supaya terus memakainya.
Peraturan baharu itu berkuat kuasa pada Rabu.
Indonesia juga tidak lagi memerlukan ujian prapenerbangan yang negatif ditunjukkan oleh pelancong domestik atau asing, kata menteri kesihatannya Budi Gunadi Sadikin dalam sidang media.
Katanya, langkah terbaru itu sebagai usaha negara berkenaan beralih kepada hidup dengan virus.
Langkah diambil Indonesia ini menyusuli negara seperti Singapura, Korea Selatan dan Malaysia yang turut melonggarkan peraturan berkaitan pelitup muka sejak beberapa minggu lalu.
Jangkitan harian Covid di Indonesia menurun sejak kemuncaknya yang terakhir pada Februari. Bagaimanapun, kerajaan berkata ia memantau kemungkinan kes meningkat susulan perayaan Aidilfitri pada awal bulan ini.